Berita Utama

Dizalimi sekian lama, ketabahan wanita Palestin harus disanjung: Wanita BERJASA

Wanita seluruh negara diajak sokong perjuangan menentang pengganas Israel

BANGI, 5 Syawal 1442H, Isnin – Wanita Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada perjuangan wanita-wanita Palestin yang berdepan dengan kezaliman rejim Zionis sejak sekian lama. 

Ketua Wanita BERJASA Pusat, Ustazah Siti Umi Kalsom Hussin berkata, mereka telah berjaya mendidik generasi Palestin yang cintakan agama dan tanah air. 

Bahkan, mereka reda kehilangan anak seorang demi seorang untuk dihantar ke medan perjuangan menentang Yahudi bangsa penjajah. 

“Semangat dan ketabahan wanita Palestin harus dicontohi oleh wanita-wanita seluruh negara.

“Begitu beratnya mata memandang terhadap ujian mereka, namun tekad mereka harus disanjung tinggi dalam mempertahankan tanah air daripada terus diratah rakus oleh rejim Zionis.

“… sehinggakan mengorbankan nyawa tanpa mengira batas usia sama ada anak kecil, wanita mahupun warga emas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ekoran kebiadaban Israel yang di luar batas kemanusiaan ini, Ustazah Umi Kalsom berkata, pihaknya menggesa wanita seluruh negara untuk bersama menyokong pengorbanan dan perjuangan rakyat Palestin.  

Beliau menegaskan, perjuangan mempertahankan Masjid Al-Aqsa sebagai kiblat pertama umat Islam adalah sebahagian daripada tuntutan Islam. 

“Perjuangan mempertahankan negara dan tanah air mereka daripada kuasa asing Yahudi adalah satu perjuangan mulia di sisi syarak. 

“Palestin merupakan bumi umat Islam dan rakyat Palestin adalah pemilik mutlak. Palestin tidak boleh sama sekali dikongsi bersama dengan kuasa asing yang datang secara biadap ke negara suci itu,” katanya.

Sehubungan itu, Ustazah Umi Kalsom mengajak rakyat Malaysia dapat bersama-sama menyumbang kepada dana Palestin di samping menyatakan sokongan tegas terhadap Palestin dan menolak kewujudan negara haram Israel di media-media sosial.

“Wanita BERJASA juga menyeru untuk kita memanjatkan doa, semoga Allah akan memberi ketabahan kepada rakyat Palestin dan kemenangan kepada mereka,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button