Berita Utama

Kerajaan diminta segera gubal Undang-undang Antitapisan Perjuangan Palestin: MACSA

Syarikat gergasi ada hak sekat ucapan kebencian, namun perlu ada penjelasan

BANGI, 5 Syawal 1442H, Isnin – Kerajaan perlu menggubal Undang-undang Antitapisan Perjuangan Palestin yang didakwa dilakukan oleh syarikat gergasi media sosial dunia.

Gesaan itu dilakukan oleh Perikatan Masyarakat Sivil dalam Proses Semakan Sejagat (UPR) Malaysia (MACSA) pada Isnin.

Dalam satu kenyataan bersama oleh Pengerusi MACSA, Lukman Sheriff Alias; Pengerusi Bersama MACSA, Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mohkhtar dan Pengerusi Yayasan MyAQSA, Suwardi Yaacob, mereka memandang serius terhadap pelbagai aduan bahawa syarikat gergasi rangkaian media sosial seperti Facebook, Twitter dan TikTok telah mengenakan sekatan secara tidak adil, diskriminasi serta sewenang-wenangnya terhadap berita-berita yang menyentuh keadaan rakyat Palestin.

Mereka berkata, pelbagai dakwaan telah dibuat oleh ramai pengguna bahawa syarikat-syarikat terbabit telah menyekat kebebasan bersuara mereka dengan menghapuskan hantaran atau komen yang sah.

Malah, kata mereka, syarikat-syarikat berkenaan juga telah menutup akaun dengan sewenang-wenangnya tanpa memberi alasan dan melalui proses yang sewajarnya.

“Maka, sudah tiba masanya syarikat rangkaian sosial ini dipertanggungjawabkan ke atas pencabulan kebebasan bersuara. Rakyat Palestin sudah terlalu lama ditindas dengan kejam di bawah rejim Israel dan sebarang sekatan penyebaran berita dan hak bersuara mereka, adalah tidak berperikemanusiaan dan tidak boleh diterima.

“Oleh itu, MACSA menyeru agar Malaysia menjadi negara pertama di dunia yang menggubal ‘Undang-undang Antitapisan (anti-censorship) Perjuangan Palestin’ agar syarikat rangkaian sosial gergasi ini dipertanggungjawabkan dalam sebarang bentuk sekatan kebebasan bersuara,” katanya seperti dilapor media tempatan.

MACSA berkata, pihaknya mengakui syarikat-syarikat berkenaan mempunyai hak untuk menyekat ucapan kebencian, namun apa yang dimaksudkan dengan ucapan kebencian mestilah diperjelaskan.

“Sebarang sekatan bersuara mestilah dilaksanakan dengan adil serta telus dan bukan sewenang-wenang seperti yang dilakukan sekarang.

“Mana-mana syarikat rangkaian sosial gergasi yang melanggar undang-undang ini hendaklah dikenakan denda yang setimpal,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button