Berita Utama

Pengguna Twitter persenda ketuanan Melayu, BERJASA buat laporan polis

Sifatkan kenyataan hina Agong, raja-raja Melayu serta Perlembagaan

BANGI, 5 Syawal 1442H, Isnin – Kenyataan berbentuk provokatif daripada seorang pengguna laman sosial Twitter yang menyamakan ketuanan Melayu dengan rejim penjajah Zionis nyata tidak disenangi.

Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) Shah Alam menyifatkan, hantaran yang dimuat naik pengguna dengan nama Liew Lip Nan itu sebagai suatu penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong, raja-raja Melayu dan Perlembagaan Persekutuan.

Sehubungan itu, satu laporan polis telah dibuat oleh Ketua Pemuda BERJASA, Ustaz Fahmi Bazlan di Balai Polis Seksyen 9, hari ini.

Beliau berkata, tindakan Lip Nan memuat naik kenyataan sedemikian pada Sabtu lalu sebagai biadab dan tidak bertanggungjawab

“Sepatutnya mereka lebih sensitif, faham dan berterima kasih atas ruang kebebasan bersuara dengan melaungkan semangat perpaduan, bukan mencetuskan provokasi dan mencucuh api perkauman.

“Di saat kemarahan umat Melayu Islam memuncak terhadap kebiadaban Israel Zionis yang sedang membantai umat Islam di Gaza, timbul pulak suara sumbang yang menyamakan ketuanan Melayu dengan Zionisme.

“Ibarat memadam api dengan minyak, makin di siram makin marak menyala,” katanya dalam satu kenyataan kepada Ismaweb.net selepas melakukan laporan polis.

Turut hadir menyatakan bantahan adalah dua Ahli Jawatankuasa Pusat BERJASA iaitu Mohd Hamdan Mohd Sharif dan Ustaz Azrin Samsudin.

Lip Nan dalam hantaran di Twitter antaranya menyebut ketuanan Melayu seperti Zionis Israel dan sekadar propaganda politik semata-mata.

Ustaz Fahmi menegaskan, melalui konsep ketuanan Melayu, negara yang suatu masa dahulu dijajah kini sudah mencapai kemerdekaan.

“Fakta sejarah membuktikan kebijaksanaan tokoh-tokoh Melayu Islam membentuk Tanah Melayu menjadi sebuah kuasa pemerintah dengan jajahan seluas alam Melayu,” katanya lagi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button