Berita Utama

Perguna rakyat Palestin demi survival politik, heret segera Netanyahu ke ICC

Takut blok perubahan, Netanyahu akan buat apa saja demi pastikan dirinya terus berkuasa

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 5 Syawal 1442H, Isnin – Pemimpin kumpulan pengganas Zionis, Benjamin Netanyahu perlu segera diheret ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) atas kesalahan jenayah perang dan pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin.

Umum tahu, bahkan seperti yang didedahkan bekas Menteri Pertahanan dan ketua parti Yisrael Beitenu, Avigdor Lieberman bahawa: “Tujuan strategik operasi (ketenteraan) ketika ini adalah untuk meningkatkan imej Netanyahu di hadapan khalayak ramai. 

“Selama mandat untuk membentuk kerajaan ada pada Lapid, Netanyahu akan berusaha untuk melanjutkan operasi.

“Proses ini dilaksanakan tanpa dasar yang jelas dan sama sekali tidak perlu. Netanyahu memanipulasi tentera, dan Hamas akan muncul sebagai pemenang,” tegas Lieberman.

Sejak dua tahun kebelakangan ini, Netanyahu memperjuangkan kelangsungan politiknya dengan apa jua cara. 

Walhal, beliau telah didakwa dengan penipuan serta rasuah, dan berpotensi menghadapi hukuman penjara yang berat jika jatuh daripada tampuk kekuasaan.

Netanyahu sekarang takut akan ‘blok perubahan’ yang melibatkan kebangkitan Lapid dan Gantz, yang turut mahu menyingkirkan Netanyahu, kata kolumnis Haaretz, Akiva Elder.

Mengulas situasi itu, Pegawai Penyelidik IRIS Institute, Asyraf Farique berkata, jelas Netanyahu terdesak dan berhadapan dengan situasi politik yang tidak memihak kepada diri serta juga partinya.

Untuk rekod, beliau berkata, Netanyahu gagal membentuk kerajaan baru, di mana tarikh akhirnya pada 4 Mei 2021 yang lalu.

“Partinya, Likud gagal membentuk kerajaan dengan gabungan parti yang lain kerana gagal mendapatkan kerusi majoriti 61 kerusi.

“Walau bagaimanapun Netanyahu masih lagi sebagai Perdana Menteri interim sehinggalah kerajaan baru terbentuk. 

“Jika tiada pihak berjaya membentuk kerajaan, Israel akan menuju pilihan raya yang kelima,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Dalam pada itu, Asyraf berkata, Netanyahu sebelum ini ingin melepaskan diri daripada tuduhan rasuah dan salah guna kuasa dari Mahkamah Tinggi Israel.

“Krisis politik dalaman Israel yang meruncing, ditambah lagi dengan ketidakupayaan pasukan keselamatan mereka mengekang serangan daripada Hamas, menyebabkan kepercayaan rakyat negara haram Israel terhadapnya mulai jatuh.

“Netanyahu juga mendapat kecaman yang teruk dari parti pembangkang,” katanya.

Beliau berkata, ketua pembangkang, Yair Lapid mengadakan sidang media bahawa kerajaan Netanyahu telah gagal menguruskan konflik ini.

Malah, pihak pembangkang sedang membentuk koalisi baharu untuk menubuhkan kerajaan dan menumbangkan parti Likud. 

“Yair Lapid dijangka akan menjadi Perdana Menteri yang baru sekiranya kerajaan baru ini dibentuk,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button