Berita Utama

PKP 3.0: Kerajaan digesa beri bantuan RM1,200 sebulan buat rakyat memerlukan

Pertimbang moratorium bersasar selama 12 bulan untuk kenderaan bawah RM150,000

BANGI, 5 Syawal 1442H, Isnin – Kerajaan digesa untuk memberi pakej bantuan kewangan iaitu Dana Sara Hidup COVID-19 3.0 untuk enam juta rakyat yang terkesan akibat pandemik. 

Felo Kanan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Ahmad Yazid Othman berkata, kerajaan sewajarnya memperuntukkan sebanyak RM8 billion dengan pecahan bantuan sebanyak RM1,200 sebulan bagi individu berkelayakan. 

Beliau berkata, Ia juga boleh disalurkan melalui subsidi upah di bawah kelolaan Perkeso bagi mereka yang layak yakni mempunyai gaji di bawah RM5,000 yang diremit terus pada majikan.

  

Sementara itu, katanya lagi, bantuan moratorium juga boleh dilaksanakan selama seperti sebelum ini bagi membantu rakyat menarik nafas lega.

“Jika moratorium bermula Jun hingga September 2021 melibatkan semua jenis pinjaman perbankan, peminjam wang berlesen, pinjaman kredit termasuk kad kredit, tidak mampu dilaksanakan, kerajaan mesti pertimbangkan moratorium secara bersasar selama 12 bulan.

“Ia terhad pada nilai pinjaman untuk kenderaan berharga di bawah 150,000, nilai hartanah di bawah RM1.5 juta dan semua pinjaman di bawah RM100,000 tanpa kenaikan bunga,” katanya.

Ahmad Yazid berkata, sudah tiba masa kerajaan mendengar suara rakyat demi rakyat dan bukan akur dengan kepentingan pihak bank atau taksub pada pandangan agensi penarafan antarabangsa. 

Beliau menegaskan, umum mengetahui bank-bank tidak langsung terjejas malah terus mencatat keuntungan sejak pandemik melanda.

“MTEM cuma ingin menzahirkan kegusaran pemegang taruh ekonomi Melayu, jika tiada tindakan susulan. 

“Bukan sahaja ia merencatkan pemulihan ekonomi negara, tapi kedudukan ekonomi orang Melayu akan jadi lebih tercorot dan bakal meningkatkan jurang kekayaan antara kaum dengan dasyat sekali pasca pandemik. 

“Kemakmuran bersama mungkin hanya akan tinggal angan-angan, walaupun pandemik telah berakhir,” katanya lagi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button