Berita Utama

Sokong Two-State Solution umpama iktiraf kewujudan rejim penjajah

Cadangan secara tak langsung sakitkan hati, singgung perasaan rakyat Palestin

BANGI, 5 Syawal 1442H, Isnin – “Cadangan Two-State Solution membawa maksud pengiktirafan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel, manakala menyerahkan wilayah itu bermaksud menyerahkan Masjid Al-Aqsa ke tangan kaum Yahudi,” kata Haji Rashidi Haris.

Demikian respon Ketua Komunikasi dan Multimedia Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) itu setelah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyokong penyelesaian saksama melalui Two-State Solution.

Katanya, apabila terdapat sokongan terhadap Two-State Solution, secara tidak langsung ia akan mengiktiraf kewujudan negara haram Israel, sedangkan sejarah membuktikan mereka tidak wujud di peta dunia.

“Keduanya, mengiktiraf negara Israel sama seperti kita bersetuju negara Malaysia dipecah atau dibahagi kepada dua iaitu sebelah barat dikuasai oleh orang bukan Melayu, manakala sebelah timur dikuasai oleh orang Melayu. Bukankah itu suatu pengkhianatan?

“Persoalannya lagi, jika kita sendiri tidak bersetuju tanah air kita ini diperbuat begitu, maka apakah rakyat Palestin akan bersetuju dengan konsep pembahagian seperti yang dicadangkan oleh Perdana Menteri kita?

“Bukankah cadangan itu secara tidak langsung menyakitkan hati dan menyinggung perasaan umat Islam Palestin?” soalnya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Terdahulu, Muhyiddin berkata, Malaysia menyokong penyelesaian adil dan saksama melalui Two-State Solution berdasarkan garis sempadan sebelum tahun 1967, dengan Baitulmaqdis ibu negara Palestin sebagai satu-satunya jalan penyelesaian terhadap konflik.

Beliau berkata, negara akan terus menyokong segala usaha demi mencapai penyelesaian adil dan berkekalan, khususnya menerusi rundingan melibatkan pihak berkaitan berdasarkan kepada undang-undang antarabangsa serta resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Mengulas lanjut, Haji Rashidi berkata, Perdana Menteri harus sedar bahawa sejarah peperangan berlaku antara Arab dan Yahudi disebabkan orang Arab mahu mempertahankan tanah air mereka daripada dirampas.

Katanya, keadaan itu berlarutan selama berpuluh tahun dengan ribuan kematian.

“Tidak semena-mena Malaysia mahu mengiktiraf negara Israel. Mempertahankan tanah air adalah mempertahankan kedaulatan bangsa itu sendiri,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button