Berita Utama

Bekalan vaksin COVID-19 percuma cukup pada semua di setiap negeri

Negeri juga dibenar jalan inisiatif pembelian bekalan vaksin: KJ

PUTRAJAYA, 6 Syawal 1442H, Selasa – Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) hari ini mengulangi komitmen pembekalan vaksin yang percuma dan mencukupi, kepada semua individu yang layak di setiap negeri bagi pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin berkata selain daripada komitmen itu, negeri juga dibenarkan untuk menjalankan inisiatif pembelian bekalan vaksin, dengan syarat vaksin yang dibeli perlu mendapat kelulusan daripada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

Bagaimanapun beliau berkata, CITF mengambil maklum bahawa jenis vaksin yang cuba diperoleh negeri-negeri tersebut contohnya Selangor, buat masa ini adalah dari syarikat farmaseutikal yang sama dibeli di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

“Berdasarkan syarat perjanjian di antara kerajaan Persekutuan Malaysia dengan syarikat pengeluar vaksin berkenaan, pembekalan stok vaksin yang telah ditempah, perlu dan akan didahulukan kepada kerajaan Persekutuan, bagi memastikan pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

“Ini sebelum apa-apa bekalan vaksin dapat disalurkan oleh syarikat farmaseutikal kepada mana-mana pihak lain termasuklah kerajaan negeri, pihak industri atau hospital swasta, yang membuat tempahan dan pembelian selepas kerajaan Persekutuan, melainkan melalui pembekal yang tidak terlibat dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Khairy berkata, CITF juga mengalu-alukan sebarang usaha dari mana-mana pihak yang ingin membantu program imunisasi, dengan menyumbangkan bekalan dos vaksin kepada program tersebut atau negeri, dengan syarat vaksin yang akan disumbangkan telah mendapat kelulusan NPRA.

Buat masa ini, tiga jenis vaksin yang telah mendapat kelulusan NPRA adalah vaksin Pfizer, Sinovac dan AstraZeneca.

Khairy berkata, CITF mengambil maklum tentang hasrat Yayasan Sekhar untuk menyumbangkan bekalan vaksin jenis Sinovac kepada program imunisasi, bagaimanapun, setelah diperiksa dengan pihak Sinovac di China dan Pharmaniaga iaitu pemegang lesen bagi vaksin Sinovac di Malaysia, tiada apa-apa permohonan atau pembelian mahupun dokumen rasmi berkaitan perkara ini, yang telah dikemukakan oleh Yayasan Sekhar.

Katanya CITF menjelaskan bahawa, tiada sebarang halangan sekiranya Yayasan Sekhar atau mana-mana pihak yang mahu meneruskan hasrat murni ini, namun ia haruslah disusuli dengan tindakan mengikut saluran yang ditetapkan.

Khairy berkata CITF dan Jawatankuasa Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV), mengambil maklum tentang cadangan dan pertimbangan daripada negara Singapura dan negara-negara lain, untuk memanjangkan selang masa antara dua dos vaksin COVID-19 dalam program vaksinasi mereka.

“Seperti mana yang telah dinyatakan sebelum ini, selang masa antara dos bagi vaksin COVID-19 yang digunakan di Malaysia adalah ditetapkan menerusi maklumat serta data yang telah dihantar oleh syarikat pengeluar vaksin, kepada NPRA.

“Sebagaimana kelulusan bersyarat yang diberikan kepada semua vaksin COVID-19 yang digunakan di Malaysia, syarikat pengeluar vaksin boleh serta perlu menghantar maklumat serta perkembangan, apabila terdapatnya data-data terkini daripada penggunaan vaksin keluaran mereka,” katanya.

Khairy berkata, bagi tujuan memanjangkan selang masa antara dua dos, kumpulan pakar di bawah Jawatankuasa Pemilihan Calon Vaksin COVID-19 (JKPCV) yang diketuai oleh Dr Kalaiarasu Peariasamy, juga sedang menilai kesesuaian mekanisme ini berdasarkan penemuan serta hasil pelaksanaannya di negara lain, di samping mendapatkan maklum balas daripada syarikat pengeluar vaksin.

“Keputusan lanjut berkaitan perkara ini akan dimaklumkan daripada semasa ke semasa,” katanya.

Khairy berkata, CITF juga menasihati orang ramai supaya terlebih dahulu menyemak status risiko COVID-19 diri di aplikasi MySejahtera, sebelum datang ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bagi mendapatkan vaksin.

Beliau berkata, individu dengan status kes yang disahkan, kes suspek, kontak rapat dan individu dalam pemantauan, tidak dibenarkan hadir serta masuk ke PPV.

“Penerima vaksin juga diingatkan agar tiba ke PPV mengikut slot masa yang telah diberikan, dan diminta untuk tidak hadir terlalu awal bagi mengelakkan kesesakan di PPV, seperti mana yang telah berlaku dalam beberapa hari ini. Penerima vaksin hanya akan dibenarkan masuk ke PPV, mengikut waktu yang ditetapkan,” katanya.

Khairy berkata, sekiranya seseorang individu yang telah menerima janji temu tidak dapat hadir, janji temu baharu akan diberikan pada suatu tarikh lain yang akan ditentukan.

“Setiap PPV mempunyai senarai menunggu yang akan dihubungi bagi menggantikan mana-mana ketidakhadiran, untuk mengurangkan risiko pembaziran vaksin,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button