Berita Utama

Fitnah NGO bantu Palestin tanpa bukti sikap seorang yang penakut: BERJASA

'Banyak NGO kumpul sumbangan seharusnya kukuhkan penyatuan umat di Malaysia bukan sebaliknya'

BANGI, 6 Syawal 1442H, Selasa – Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) membidas sikap segelintir pihak di negara ini memfitnah dan memburukkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kemanusiaan yang konsisten membantu Palestin.

Setiausaha Agungnya, Ir Muhammad Lukman Al Hakim berkata, NGO-NGO terbabit telah membantu Palestin dengan kutipan sumbangan yang mencecah ratusan juta ringgit selama berpuluh-puluh tahun.

Malah, katanya lagi, kehadiran mereka ini sendiri sudah dikenali dan diiktiraf oleh rakyat Palestin.

Kesal dengan tuduhan itu, beliau menyifatkan individu berkenaan sebagai penakut apabila tidak mempunyai sebarang bukti kukuh, selain enggan menjawab komen mahupun maklum balas netizen.

“Sifat ini juga membuktikan sifat sombong mereka.

“Saya tidak berniat untuk menjawab semua pertuduhan tersebut kerana semua kebenaran telah tersedia dalam alam media sosial, di tempat sama di mana individu-individu tersebut menghamburkan fitnah mereka secara amat melampaui batas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas mengenai perkara sama, Muhammad Lukman berkata, sekiranya individu yang menabur fitnah terbabit benar-benar mempunyai bukti dan profesional, mereka perlu membawa perkara itu ke muka pengadilan.

Beliau berkata, Malaysia mempunyai pelbagai undang-undang rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penggubahan wang haram yang ketat.

“Yang jelas meruntuhkan tindakan sinergi ini ialah pihak yang menabur fitnah, melempiaskan amarah dan kepentingan peribadi dalam arus kebangkitan intifada Palestin yang sedang marak kini.

“Sepatutnya sikap ‘berlumba-lumba terhadap kebaikan’ diambil seperti yang disarankan al-Quran.

“Banyaknya NGO-NGO Palestin yang bergerak aktif mengumpul sumbangan di Malaysia seharusnya memperkukuhkan penyatuan umat di Malaysia bukan sebaliknya,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button