Berita UtamaDunia

Komander mujahidin antara korban terbaharu yang kini cecah 212 orang

Jalan utama ke hospital hancur, serangan beri kesan pada kebersihan, bekalan air

GAZA, 6 Syawal 1442H, Selasa – Serangan udara rejim pengganas Israel telah mengorbankan seorang pejuang mujahidin, pada ketika angka kematian di Gaza meningkat kepada 212 orang termasuk 61 kanak-kanak dan 36 wanita.

Dalam kejadian semalam, komander Hussam Abu Harbeed terkorban di bangunan kediamannya ketika konflik antara Palestin dan rejim Zionis memasuki minggu kedua.

Selain itu, sekurang-kurangnya tujuh warga Palestin terkorban termasuk dua daripadanya terbunuh akibat serangan peluru berpandu di bangunan pejabat tujuh tingkat di kota Gaza dalam kejadian sama.

Pada masa sama, rejim pengganas Israel turut melancarkan serangan bom di terowong bawah tanah sejauh 15 kilometer, yang digunakan oleh Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas), selain sembilan buah rumah milik pemimpin tertinggi pergerakan itu.

Sementara itu, di pinggir kem pelarian Jabalya, para petugas berusaha memadam kebakaran di sebuah kilang span yang berpunca daripada serangan kereta kebal rejim pengganas Israel.

Para petugas turut membersihkan serpihan-serpihan batu bangunan yang hancur di jalan raya serta berusaha memperbaiki perkhidmatan telefon dan elektrik yang rosak.

Datuk Bandar Gaza, Yahya Al-Sarraj berkata, Israel turut menyasarkan serangan secara sistematik ke infrastruktur.

“Jalan-jalan utama telah hancur termasuk jalan yang menuju hospital Al-Shifa yang turut memberi kesan kepada kebersihan dan bekalan air.

“Satu-satunya kilang rawatan air di Gaza telah menutup operasinya akibat daripada pengeboman Israel secara berterusan di kawasan sekitar serta pemberhentian pekerja.

“Malah, perkhidmatan elektrik yang diputuskan juga telah memberi kesan pada pengepaman air ke rumah,” katanya. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button