Berita UtamaDunia

Pekerja pelabuhan Itali enggan sokong hantar senjata ke negara haram

'Senjata api akan bunuh penduduk Palestin termasuk kanak-kanak'

ROM, 6 Syawal 1442H, Selasa – Para pekerja di pelabuhan Livorno, Itali menolak untuk memuatkan kelengkapan persenjataan ke dalam kapal yang bakal dihantar ke negara haram Israel.

Pertubuhan pekerja di pelabuhan itu L’Unione Sindacale berkata, peralatan senjata api dan bahan letupan berkenaan akan membunuh ratusan penduduk Palestin termasuk kanak-kanak.

Pertubuhan itu berkata, pihaknya akan menganjurkan kempen untuk memperjuangkan rakyat Palestin serta meminta Israel menghentikan serangan di Gaza dan rampasan kediaman Palestin di Baitulmaqdis Timur.

“Pelabuhan Livorno tidak akan menjadi kakitangan bagi menyokong pembunuhan rakyat Palestin,” katanya.

Menurut agensi berita Wafa, laporan itu dipetik dari The Weapon Watch, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berpusat di Genoa, yang memantau penghantaran senjata di pelabuhan Eropah dan Mediterannean.

Terdahulu, pengusiran keluarga Palestin dari kediaman mereka di Sheikh Jarrah di Baitulmaqdis Timur oleh Israel telah mencetuskan kemarahan Palestin dan penduduk di serata dunia.

Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) yang bertindak balas atas pengusiran penduduk di Sheikh Jarrah serta serangan ke atas para jemaah di Masjid Al-Aqsa pada bulan Ramadan telah melancarkan serangan roket ke arah Israel.

Negara penjajah Israel yang membalas serangan itu di Semenanjung Gaza telah mengorbankan 198 orang termasuk 58 kanak-kanak dan 34 wanita setakat ini. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button