Berita Utama

Polis Sabah tembak mati lima anggota Abu Sayyaf

'Sub leader' Mabar Binda dalam senarai dikehendaki Filipina

KOTA KINABALU, 6 Syawal 1442H, Selasa – Polis Sabah menembak mati lima anggota kumpulan pengganas Abu Sayyaf dalam operasi khas, yang dijalankan di sebuah kawasan setinggan di paya bakau berhampiran Taman Sri Arjuna, Beaufort pada jam 11.27 pagi semalam.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali berkata, salah seorang daripada suspek itu adalah ‘sub leader’ kumpulan pengganas itu dikenali sebagai Mabar Binda, yang dinamakan dalam senarai dikehendaki oleh kerajaan Filipina.

Beliau berkata, tiga lagi suspek dikenali sebagai Abhirsham [email protected], Jurakhdam Binda, Alsimar Sukarno, manakala seorang lagi masih belum dikenal pasti namanya, dan semuanya dianggarkan berusia antara 20an hingga 40an.

“Dengan tumpasnya lima anggota kumpulan ini, polis yakin telah berjaya melumpuhkan satu sel Abu Sayyaf yang bersembunyi di Sabah, dan yang telah melakukan ba’iah dengan kumpulan militan Daesh.

“Polis juga mengesyaki masih lagi ada saki baki dan tali barut (kumpulan itu) yang bersembunyi di Malaysia khususnya di Sabah dan kita sedang menyiasat perkara ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, Kepayan di sini hari ini.

Hazani berkata, semua lima suspek yang ditembak mati itu adalah warga Filipina, dan dalam kejadian itu polis turut menemui serta merampas dua pucuk pistol jenis semi auto colt .45, 20 butir peluru hidup, dua kelongsong peluru dan tiga bilah parang.

Katanya, ketika kejadian, polis telah mengetuk pintu rumah di kawasan setinggan itu, bagaimanapun salah seorang suspek yang membuka pintu telah melepaskan tembakan, dan suspek lain bersenjatakan pistol serta parang keluar menyerang anggota polis, sebelum ditembak mati.

Beliau berkata, Mabar bersama tiga suspek kejadian itu sebelum ini berjaya melarikan diri dalam serbuan pada 8 Mei lepas di kawasan sama, sebelum polis berjaya menahan lapan anggota kumpulan Abu Sayyaf bersama 29 warganegara Filipina, yang tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.

“Salah seorang daripada lapan anggota Abu Sayyaf yang ditahan pada 8 Mei itu adalah abang kepada suspek (Mabar),…polis percaya mereka kembali ke kawasan paya bakau itu untuk mendapatkan bekalan makanan, selain menjadi tempat persembunyian kerana ia terlindung daripada kawasan orang ramai,” katanya.

Hazani percaya, suspek terbabit telah berada di kawasan itu sejak November tahun lepas, dan beliau yakin terdapat orang yang bersimpati, yang memberi bantuan kepada mereka, justeru pihak polis sedang memantau serta menyiasat perkara tersebut.

“Polis percaya, antara faktor kawasan Pantai Barat dan pedalaman menjadi kawasan persembunyian anggota kumpulan pengganas ini kerana di kawasan ini ‘aman sedikit’, berbanding Pantai Timur yang mempunyai Esscom (Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah) dan sentiasa menjalankan operasi,” katanya.

Hazani berkata, penduduk di sekitar Beaufort tidak perlu rasa risau mahupun bimbang mengenai tahap keselamatan mereka, berikutan operasi dijalankan serta kejadian tersebut, kerana kawasan kejadian jauh daripada kawasan orang ramai.

Sehubungan itu, beliau berkata, semua pasukan keselamatan di Sabah diminta agar sentiasa berhati-hati dan berwaspada, mengenai sebarang kemungkinan tindak balas daripada kumpulan berkenaan, berikutan operasi yang dijalankan oleh pasukan keselamatan di negeri ini.

Katanya, sejak 2014 hingga tahun lepas, seramai 83 individu yang dipercayai terlibat dengan kumpulan pengganas Daesh, berjaya ditahan di Sabah, khususnya di kawasan Pantai Barat dan pedalaman.

Pada 8 Mei lepas, pasukan keselamatan berjaya menahan lapan anggota kumpulan Abu Sayyaf termasuk dua yang dinamakan dalam senarai orang dikehendaki kerajaan Filipina, dalam operasi pukul 3 pagi di kawasan paya bakau Taman Sri Arjuna, Beaufort yang mana polis turut menahan 29 lagi individu warga Filipina. -Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button