Berita Utama

Jumlah kemasukan kes COVID-19 ke ICU meningkat 94 peratus di Lembah Klang

Ia agak berbeza jika nak dibandingkan dua minggu yang lalu

KUALA LUMPUR, 7 Syawal 1442H, Rabu – Jumlah kemasukan kes COVID-19 ke Unit Rawatan Rapi (ICU) termasuk kes yang disyaki atau kemungkinan dijangkiti di Lembah Klang telah meningkat sebanyak 94 peratus berbanding dua minggu lepas, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Dalam catatan di laman Facebooknya, Dr Noor Hisham berkata situasi di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya kini amat teruk dengan 79 peratus katil ICU di hospital COVID-19 di negeri berkenaan telah digunakan untuk merawat pesakit COVID-19.

“Hospital COVID-19 telah meningkatkan jumlah katil ICU yang diperuntukkan untuk pesakit COVID-19, melalui pengubahan semula wad biasa. Bagaimanapun, ini juga mengurangkan peluang pesakit bukan COVID untuk mendapatkan rawatan kritikal yang betul.

“Sistem penjagaan kesihatan di Lembah Klang berada kini berada dalam tekanan yang luar biasa. Petugas barisan hadapan sudah lesu dan kepenatan. Tolonglah kami agar kami masih dapat menolong anda apabila bila tiba masa dan waktunya,” katanya.

Beliau juga menggesa orang ramai agar terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan kekal berada di rumah jika tiada urusan penting di luar.

Malaysia hari ini merekodkan jumlah kes COVID-19 harian tertinggi iaitu 6,075 kes. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button