Berita UtamaDunia

Thailand pindah kesemua tahanan Ugyhur ke pusat imigresen di Bangkok

Kumpulan NGO Islam bimbang tahanan dihantar semula ke China

BANGKOK, 28 Zulhijjah 1443H, Khamis – Thailand memindahkan kesemua tahanan etnik Islam Uyghur yang ada di negara ini ke sebuah pusat tahanan, semalam.

Situasi berkenaan menimbulkan rasa bimbang dalam kalangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tentang kemungkinan kerajaan menghantar semula mereka ke China selepas tiga yang ditahan melarikan diri awal bulan ini.

Ketua Penasihat Keselamatan Perdana Menteri, Panitan Wattanayagorn berkata, kesemua tahanan Uyghurs dipindahkan demi keselamatan mereka.

“Saya difahamkan ia merupakan penempatan semula kumpulan etnik buat sementara waktu demi keselamatan dan ke arah meningkatkan keadaan kehidupan yang lebih baik,” katanya ketika dihubungi RFA.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas mengenai sama ada kerajaan mahu menghantar semula etnik berkenaan ke China.

Katanya lagi, dalam menyelesaikan permasalahan tersebut, pihaknya tahu golongan etnik berkenaan melarikan diri ke Thailand adalah untuk mencari keselamatan dan kehidupan lebih selesa.

Justeru, katanya, menjadi kewajipan kepada Thailand untuk mengendali permasalahan berkenaan mengikut piawaian dan kewajipan antarabangsa.

“Kami tidak akan melanggar hak asasi mereka dengan memisahkan mereka dengan keluarganya dan kita boleh memberi jaminan untuk menyelesaikan masalah ini dengan baik,” katanya.

Terdahulu, tujuh NGO dan Majlis Islam Thailand dalam kenyataan mempersoalkan pemindahan tahanan muslim Uyghur ke Bangkok.

Tindakan itu mengusarkan kerana bimbang kerajaan menghantar pulang mereka ke China seperti dituntut negara tersebut sebelum ini.

Pemindahan tahanan Uyghur berlaku selepas tiga etnik berkenaan melarikan diri pada 11 Julai lalu.

Dianggarkan 56 etnik Uyghur berada dalam tahanan di Thailand selepas dipercayai memasuki negara ini secara haram sejak tujuh atau lapan tahun lalu. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button