Berita Utama

ADUN DAP tiada sifat kemanusiaan sanggup kata PM ‘bodoh’ cuba bela Palestin?

Sokong kezaliman negara haram, seronok lihat rakyat Gaza dizalimi?

BANGI, 7 Syawal 1442H, Rabu – Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) menempelak tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baru Klang, Datuk Teng Chang Khim selepas memberi komen negatif berhubung pendirian tegas Malaysia terhadap kezaliman yang dilakukan rejim Zionis Israel ke atas Palestin.

Sabtu lalu, Chang Khim yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Selangor didakwa memuat naik komen di Facebook yang mengkritik Perutusan Khas Mengenai Palestin oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dalam hantaran Facebook beliau, ADUN DAP itu menyifatkan kenyataan Perdana Menteri yang disampaikan melalui perutusan khas hanya sekadar mahu mengalih perhatian rakyat.

Walhal katanya, Muhyiddin sepatutnya mengutamakan nyawa rakyat Malaysia yang terancam akibat COVID-19.

“Jangan mengalih perhatian rakyat daripada fokus. Jaga nyawa rakyat Malaysia yang terancam kerana COVID-19 dahulu. Bodoh!” tulisnya sebelum hantaran tersebut dipadamkan.

Membidas kenyataan itu Presiden BERJASA, Ustaz Zamani Ibrahim secara sinis berkata pimpinan DAP bertindak tidak matang kerana menuduh Perdana Menteri Malaysia bodoh.

“Apakah pemimpin DAP tersebut tidak ada sifat kemanusiaan sehingga sanggup mengatakan YAB Perdana Menteri sebagai bodoh.

“Apakah pemimpin DAP tersebut menyokong tindakan kezaliman Israel dan seronok melihat rakyat Gaza khususnya dibunuh dan dizalimi.

“Kalau betul telahan ini bermakna tidak hairanlah bahawa DAP sering kali senyap tidak memberi apa-apa teguran apabila terdapat non muslim menghina institusi agama di negara ini,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.

Berkaitan keprihatinan Perdana Menteri kepada rakyat, Ustaz Zamani meminta DAP tidak butakan mata dan tumpulkan akal fikiran sehingga tidak nampak terlalu banyak bantuan yang telah diumumkan oleh Muhyiddin ketika negara dan rakyat sedang dilanda dengan pandemik COVID-19.

Bahkan katanya, semua bantuan tersebut adalah untuk rakyat Malaysia seluruhnya tanpa memilih bangsa atau agama.

“Saya bimbang, kemungkinan pemimpin DAP terasa mereka sama seperti pendatang rejim Zionis Yahudi. Asalnya hanya sebagai pendatang tetapi setelah ada kekuatan, maka mereka ingin menjadi tuan tanah di bumi Palestin.

“Kalau benar, patutlah pemimpin DAP tidak bersuara dan membantah dalam isu penceroboh tanah di negara ini untuk projek ladang durian Musang King, sebaliknya memberikan sokongan supaya kerajaan memberikan hak milik kepada semua penceroboh tanah tersebut,” katanya.

Lantaran itu, Presiden BERJASA menggesa rakyat menyingkirkan pemimpin DAP pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kelak.

“Mana-mana parti yang bekerjasama dengan DAP sekarang ini hendaklah membuat penilaian semula dasar kerjasama tersebut, apakah ianya selari dengan siasah syariah atau tidak,” sarannya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button