Berita Utama

KKM nasihat jaga kesihatan sepanjang Ramadan

Elak ke bazar Ramadan, majlis perhimpunan jika bergejala

BANGI, 28 Syaaban 1444H, Selasa – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihatkan masyarakat untuk terus mengamalkan langkah-langkah kesihatan awam bagi melindungi diri dan keluarga daripada COVID-19 serta virus lain sepanjang bulan Ramadan.

Ini kerana, aktiviti kebiasaan umat Islam dalam bulan Ramadan seperti solat sunat tarawih di masjid, perhimpunan majlis ilmu dan majlis berbuka puasa telah dibolehkan sebagaimana sebelum pandemik.

Menurut KKM, aktiviti jual beli di bazar Ramadan juga akan berlaku seperti biasa tahun ini.

Justeru, kementerian menggalakkan pemakaian pelitup muka bagi individu bergejala dan berisiko – seperti warga emas, wanita mengandung, rendah imuniti badan, mempunyai komorbid serta kanak-kanak – terutama di kawasan orang ramai dan sesak.

“Sentiasa berwaspada dan elakkan berada di kawasan yang sesak, sempit dan sembang dengan jarak yang dekat.

“Kerap mencuci tangan terutamanya selepas bersalaman atau membawa sanitasi tangan dan amalkan etika batuk dan bersin dengan betul,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

KKM turut menggalakkan membawa sejadah dan pakaian solat sendiri untuk ke masjid, selain menasihatkan individu bergejala berada di kawasan beribadat awam, bazar Ramadan dan majlis perhimpunan.

Katanya, individu positif COVID-19 juga dilarang menghadiri aktiviti sosial dan dinasihatkan segera mendapatkan rawatan jika gejala bertambah teruk.

“Justeru, setiap individu harus memainkan peranan penting dalam memastikan tiada penularan jangkitan COVID-19 dalam komuniti.

“KKM ingin mengucapkan selamat menyambut Ramadan Al-Mubarak 1444H dan selamat berpuasa kepada seluruh umat Islam di Malaysia,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button