Berita Utama

CUEPACS gesa PKP penuh dilaksana minimum 21 hari

Situasi semasa menyaksikan perkhidmatan kesihatan negara berdepan cabaran

KUALA LUMPUR, 7 Syawal 1442H, Rabu – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menggesa kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara penuh di seluruh negara sekurang-kurangnya bagi tempoh 21 hari.

Presiden CUEPACS Adnan Mat berkata gesaan itu dibuat berikutan situasi semasa yang menyaksikan perkhidmatan kesihatan negara berdepan cabaran yang terlalu dahsyat untuk merawat pesakit COVID-19 dan pada masa sama, perlu mengendalikan pesakit lain.

Beliau berkata tempoh 21 hari itu adalah paling minimum bagi membolehkan langkah drastik dilaksanakan kerajaan untuk mengekang penularan COVID-19.

“Sekiranya kerajaan masih lagi menggunakan SOP (prosedur operasi standard) semasa bagi mengekang penularan COVID-19, CUEPACS bimbang perkhidmatan kesihatan negara akan menjadi lumpuh sekali gus mengundang darurat kesihatan yang serius kepada negara,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Adnan, SOP sedia ada yang dilaksanakan dalam PKP 2.0 dan PKP 3.0 ketika ini dilihat tidak berkesan mengurangkan jangkitan COVID-19 bahkan ia dilihat semakin meningkat setiap hari dengan trend peningkatan kes disebabkan pergerakan orang ramai yang tidak terkawal.

Adnan berkata SOP yang sentiasa berubah dan tidak seragam telah mengelirukan rakyat serta pengumuman pelaksanaan PKP Diperketatkan (PKPD) di kawasan berisiko tinggi diumum lebih awal sehingga memberi kesempatan masyarakat keluar dari kawasan terbabit yang boleh menyebabkan penularan kes berlaku di kawasan luar.

Beliau berkata pelaksanaan PKP secara penuh seperti 18 Mac 2020 mungkin nampak terseksa kepada rakyat tetapi pelaksanaan PKP ‘sekejap buka sekejap tutup’ yang menyaksikan ekonomi semakin perlahan, pendidikan anak-anak terabai dan kadar pengangguran meningkat adalah lebih buruk.

“Ditambah lagi dengan penularan varian berbahaya dari Afrika dan India di Malaysia ketika ini, PKP penuh ini diyakini dapat memastikan negara kembali di landasan yang terbaik,” katanya.

Adnan berkata CUEPACS turut menggesa menteri dan kementerian yang terlibat mengawal harga barangan keperluan harian memastikan tiada pihak memanipulasi harga sekiranya PKP penuh dilaksanakan selain bantuan kewangan kepada isi rumah yang terjejas wajar diberi oleh kerajaan.

“Bank Negara dan Kementerian Kewangan perlu mewajibkan bank-bank melaksanakan semula moratorium penuh seperti tahun lalu kepada semua peminjam selama tiga bulan sebagai inisiatif mengurangkan kesan ekonomi serta kepada individu dan organisasi,” katanya.

Malaysia hari ini merekodkan kes harian tertinggi COVID-19 dengan 6,075 kes sejak pandemik itu dikesan di negara ini pada Januari tahun lepas.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata kemunculan varian baharu yang membimbangkan (VOC) amat merisaukan kerana kebanyakan pesakit tidak menunjukkan gejala malah ujian saringan sering mencatatkan keputusan negatif sekalipun pesakit sudah berada di tahap kritikal. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button