Dunia

Penduduk di New York adakan tunjuk perasaan bantah serangan kejam negara haram

Mereka kibar bendera Palestin dan memakai selempang 'keffiyeh'

NEW YORK, 7 Syawal 1442H, Rabu – Penduduk New York City berhimpun di jalan-jalan raya di pusat bandar Manhattan sebagai membantah serangan udara Israel di Gaza, lapor Sputnik.

Ratusan penunjuk perasaan sambil mengibarkan bendera Palestin dan memakai selempang “keffiyeh”, berhimpun di hadapan Konsulat Jeneral Israel di New York pada Selasa.

“Dari sungai ke laut – Palestin akan bebas,” teriak seorang daripada ketua penunjuk perasaan. Mereka membawa bersama pelbagai jenis sepanduk antaranya “Berhenti bom kanak-kanak yang tidak bersalah”, “Bebaskan Palestin”, “Palestine will never die”, “Tamatkan semua bantuan AS kepada Israel”.

Turut kelihantan kehadiran ramai anggota polis di sekitar ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang terletak tidak jauh dari lokasi tunjuk perasaan.

Seorang pengawal keselamatan berkata kawalan diperketat sebagai langkah berjaga-jaga kemungkinan penunjuk perasaan akan menyerbu bangunan pertubuhan badan dunia itu.

Majlis Keselamatan PBB telah dikritik hebat, termasuk Duta Palestin untuk PBB Riyad Mansour, kerana gagal mengadakan gencatan senjata di Timur Tengah.

Selepas tiga kali mesyuarat dalam masa seminggu, Majlis Keselamatan PBB masih dilihat gagal memainkan peranannya apabila Amerika Syarikat terus menyekat sebarang pernyataan berhubung keganasan di Gaza.

Pertempuran terbaru meletus minggu lalu berikutan keganasan melampau rejim Israel terhadap penduduk Palestin di wilayah yang diduduki. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button