Berita Utama

Calon PM: Ismail Sabri lambang muafakat BN, PN dan GPS

Sabar tunggu proses pemilihan yang masih berjalan, kata Annuar Musa

BANGI, 10 Muharram 1443H, Khamis – Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa memaklumkan bahawa Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah calon yang sedang dipertimbangkan oleh Yang di-Pertuan Agong sebagai Perdana Menteri ke-9.

Perkara itu dinyatakan Annuar selepas mengesahkan semua Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN), PAS, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Gabungan Parti Sarawak (GPS), STAR, PBS dan beberapa wakil rakyat Bebas diarah hadir ke Istana Negara pagi ini.

Beliau berkata, Ismail yang juga Naib Presiden UMNO adalah calon yang mendapat restu UMNO dan BN, selain disokong pelbagai parti sahabat.

Katanya, pemilihan itu melambangkan muafakat, kejujuran, kebersamaan dan politik kesederhanaan serta inklusiviti dalam kalangan parti-parti gabungan BN, PN dan GPS.

“Proses pemilihan sedang berjalan. Penentuan muktamad adalah budi bicara Yang di-Pertuan Agong untuk melantik seorang Ahli Parlimen yang pada hemat baginda berkemungkinan mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.

“Kita harus bersabar menunggu proses itu yang sedang berjalan sekarang. Semoga dipermudahkan Allah SWT jua,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sejak awal pagi tadi, Istana Negara menjadi tumpuan media ekoran 114 Ahli Parlimen BN, PN dan GPS dipanggil bagi mengesahkan surat akuan bersumpah (SD) sokongan mereka kepada calon Perdana Menteri.

Pengesahan SD itu sekali gus meredakan kemelut politik negara yang berlaku susulan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas mengesahkan tidak lagi mempunyai sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button