Berita Utama

Isu vaksin: Terpedaya ‘syarikat palsu’, KM Pulau Pinang tak kompeten?

Adakah di sebalik bantuan, wujud 'deal-deal' lain yang tidak diketahui?

GEORGETOWN, 8 Syawal 1442H, Khamis – Tawaran sumbangan dua juta dos vaksin COVID-19 jenama Sinovac kepada kerajaan Pulau Pinang oleh sebuah syarikat yang didakwa ‘palsu’, menunjukkan betapa tidak kompetennya Ketua Menteri negeri itu.

Ketua Penerangan BERJASA, Hazwan Mohamad mempersoalkan tindakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow – adakah tidak melakukan semakan latar belakang ‘syarikat’ berkenaan sebelum menerima tawaran pemberian vaksin.

Lebih musykil, apabila Kon Yeow sibuk mahu menyiasat dakwaan tersebut hanya selepas Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mendedahkan bahawa ‘syarikat’ itu tidak wujud.

“Persoalannya, adakah Ketua Menteri DAP ini begitu tidak kompeten sekali dalam mengurus pentadbiran negeri? 

“Adakah kali pertama terima tawaran bantuan dari ‘syarikat’ itu tidak dibuat ‘background check’? Betul atau tidak wujudnya syarikat itu? 

“Insiden ini bagi saya adalah satu petanda tidak kompeten kerajaan negeri dalam berurusan dengan syarikat yang menawarkan apa sahaja perkhidmatan kepada negeri,” katanya kepada Ismaweb.net hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, persoalan lebih besar lagi adalah bagaimana tiada seorang pun daripada kerajaan negeri yang dapat mengenal pasti ketidakwujudan syarikat yang hendak memberi sumbangan. 

“Atau adakah di sebalik bantuan tersebut, wujud ‘deal-deal’ lain yang tidak diketahui?,” soalnya.

Justeru, Hazwan menggesa siasatan menyeluruh dilakukan terhadap pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang ini.

Terdahulu, Khairy dalam sidang medianya menjelaskan tawaran dua juta dos vaksin Sinovac secara percuma kepada kerajaan Pulau Pinang adalah tidak sahih dan palsu. 

Ini kerana, pihaknya mendapati syarikat yang membuat tawaran berkenaan, Xintai Development Enteprise Ltd yang berpangkalan di Hong Kong, tidak wujud.

“Kita sudah melaksanakan carian dan mendapati syarikat ini tidak wujud di Hong Kong. Kita juga buat pemeriksaan dengan pengeluar, Sinovac Biotech Ltd di China dan mendapati tidak pernah wujud urusan (dengan syarikat itu).

“Syarikat ini tidak wujud, jadi apa yang ditunjukkan Ketua Menteri Pulau Pinang mengenai tawaran dua juta dos vaksin ini adalah palsu. Jadi bagaimana kerajaan Pulau Pinang boleh menggunakan surat (scam) palsu untuk menuduh Kerajaan Pusat menghalang pemberian vaksin ini?,” katanya. 

Susulan itu, Kon Yeow memohon syarikat bersama pengarah yang dinamakan tampil memberi penjelasan dengan mengemukakan bukti berkaitan demi membersihkan nama serta imej mereka.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button