Berita Utama

Kerajaan bincang cadangan PKP menyeluruh esok

Jumlah kumulatif kes positif sudah hampir setengah juta

KOTA BHARU, 8 Syawal 1442H, Khamis – Cadangan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara menyeluruh dijangka akan dibincangkan esok, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan. 

Beliau berkata, perkara itu akan dibincangkan dan diputuskan dalam sidang Majlis Keselamatan Negara (MKN) COVID-19 di Putrajaya.

Mesyuarat itu bakal dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada jam 3 petang.

Ia akan turut dihadiri semua Menteri Besar dan Ketua Menteri.

“Akan dibincangkan (esok) untuk diputuskan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pada mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Khas Negeri Kelantan yang dipengerusikan Menteri Besar Ahmad Yakob di Kompleks Kota Darul Naim Kota Bharu, hari ini.

Takiyuddin berkata, Kerajaan Pusat melihat penularan COVID-19 adalah satu perkara yang amat serius dan berdasarkan statistik kelmarin jumlah kumulatif kes positif sudah hampir setengah juta.

“Manakala kematian pula sudah lebih 2,000 dan kita merasakan ia satu perkara yang amat membimbangkan dan kita sedar kerjasama kuat daripada Kementerian Kesihatan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button