Berita UtamaDunia

UNRWA desak Israel buka laluan untuk hantar bantuan ke Gaza

Tanpa gencatan senjata akan lebih banyak nyawa terkorban

GAZA, 8 Syawal 1442H, Khamis – Agensi Kerja dan Bantuan Palestin (UNRWA) menggesa Israel membuka laluan penghantaran bantuan ke Semenanjung Gaza yang dikepung – di tengah-tengah serangan negara haram itu terhadap Palestin.

Dalam satu kenyataan, UNRWA menegaskan, pihak tidak mendapat persetujuan akses kritikal ke Gaza untuk membawa bekalan kemanusiaan yang penting.

Bekalan tersebut bagi membantu penduduk Palestin yang menderita, termasuk wanita hamil, kanak-kanak, orang kurang upaya, warga emas, dan mereka yang memerlukan rawatan perubatan serius.

Pengarah komunikasi strategik UNRWA, Tamara Alrifai berkata, Israel perlu menghormati undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan membenarkan pemberian bantuan kemanusiaan yang tidak berat sebelah kepada penduduk awam. 

Ia termasuk menghormati dan melindungi hak mereka terhadap hak asasi manusia yang penting seperti  makanan, penjagaan kesihatan utama, dan tempat tinggal. 

Pihaknya menekankan kewajiban negara penjajah  untuk memastikan bekalan makanan dan perubatan sampai kepada penduduk awam seperti yang termaktub dalam Konvensyen Geneva Keempat.

“Setiap hari tanpa gencatan senjata bermakna akan lebih banyak nyawa terkorban, lebih banyak rumah dan mata pencarian musnah. Ini tidak dapat diterima,” katanya. 

Sekurang-kurangnya 221 orang Palestin terbunuh, termasuk 63 kanak-kanak dan 36 wanita, dan 1,530 yang lain cedera dalam serangan Israel di Semenanjung Gaza sejak 10 Mei, menurut Kementerian Kesihatan. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button