Berita UtamaDunia

Wartawan Palestin tak sempat keluar rumah, terbunuh dalam serangan udara Israel

Voice al-Aqsa nyata kedukaan, hilang anak lelaki dan pekerja

GAZA, 8 Syawal 1442H, Khamis – Wartawan Palestin, Yusef Abu Hussein terbunuh dalam serangan udara rejim penjajah Israel di rumahnya di Semenanjung Gaza yang dikepung.

Hussein, penyiar untuk stesen radio Voice of Al-Aqsa, adalah antara empat orang Palestin yang terbunuh pada awal hari Rabu ketika rejim pengganas meneruskan pengeboman tanpa henti di kawasan yang dikepung.

Bapanya, Muhammed Abu Hussein memberitahu, rumah keluarga di kawasan Sheikh Radwan menjadi sasaran peluru berpandu, diikuti oleh dua lagi serangan.

“Kami dapat keluar dari rumah. Tetapi anak lelaki saya, Yusef… terbunuh,” katanya.

Berita mengenai pembunuhan Hussein mengundang duka ramai pihak dan menggesa supaya pemerintah Israel bertanggungjawab.

Stesen radio Voice of Al-Aqsa dalam satu kenyataan mengesahkan mereka kehilangan ‘anak lelaki dan pekerja yang baik’.

“Kami juga mendokumentasikan, di depan dunia, kejahatan keji yang dilakukan oleh Israel, termasuk menyasarkan orang awam di kediaman mereka dan menyerang petugas media.

“Radio Al-Aqsa akan terus menjadi suara kebenaran yang memperlihatkan kejahatan penjajahan Israel. 

“Kami akan menjadi landasan untuk pejuang Palestin sehingga seluruh rakyat memperoleh hak mereka,” katanya.

Serangan udara itu berlaku beberapa hari selepas Israel mengebom bangunan di Gaza yang menempatkan pangsapuri kediaman dan pejabat organisasi berita antarabangsa, termasuk Al Jazeera dan agensi berita The Associated Press. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button