Berita UtamaDunia

Tak sampai 24 jam gencatan, bumi Palestin kembali digegar Zionis

Polis negara haram serang Masjid al-Aqsa lepaskan bom tangan, gas pemedih mata

BAITULMAQDIS, 9 Syawal 1442H, Jumaat – Kurang 24 jam selepas gencatan senjata dipersetujui di antara Israel dan Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas), polis negara pengganas itu kembali menyerang perkarangan Masjid al-Aqsa.

Bukan setakat menyerang, mereka turut melepaskan tembakan gas pemedih mata ke arah penduduk Palestin selepas solat Jumaat.

Al Jazeera yang memetik saksi kejadian sebagai berkata, selepas solat Jumaat, warga Palestin yang menetap di sekitar perkarangan Masjid al-Aqsa berkumpul bagi meraikan kejayaan gencatan senjata oleh Hamas.

Difahamkan, polis Israel yang ditempatkan di sebelah perkarangan masjid menyerbu ke kawasan berkenaan, tatkala penduduk Palestin sedang meraikan kemenangan.

Polis rejim Zionis kemudian bertindak menggunakan langkah-langkah kawalan orang ramai dengan melepaskan bom tangan, bom asap dan gas pemedih mata.

“Mereka mula melepaskan tembakan ke arah orang ramai sebagai usaha untuk meleraikannya,” lapor wartawan Al Jazeera, Imran Khan.

Pertubuhan Bulan Sabit Merah di Baitulmaqdis melaporkan, 20 cedera ekoran daripada serangan tersebut.

Terdahulu, puluhan ribu umat Islam menunaikan solat Jumaat yang kemudian diikuti dengan perayaan, nyanyian serta pengedaran manisan.

Sekitar jam 2 pagi waktu tempatan, Semenanjung Gaza secara rasminya meraikan kemenangan selepas rejim Israel terpaksa berundur menerusi gencatan senjata mulai hari ini.

Dalam satu kenyataan dari Pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu memaklumkan bahawa Kabinet keselamatan sebulat suara menerima cadangan Mesir untuk melaksanakan gencatan senjata tanpa syarat.

Keputusan itu disahkan juga oleh Hamas dalam satu kenyataan, yang berkuat kuasa pada jam 2 pagi tadi. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button