Dunia

Bangladesh laksana perintah berkurung di kem pelarian Rohingya

Terpaksa minimum kemasukan pengunjung bimbang kes terus meningkat

COX’S BAZAR, 9 Syawal 1442H, Jumaat – Pihak berkuasa Bangladesh melaksanakan perintah penutupan ke atas lima kem pelarian Rohingya di tenggara negara itu, setelah lonjakan kes jangkitan COVID-19 sejak beberapa hari kebelakangan ini. 

Perintah itu melarang sebarang perhimpunan dan pergerakan antara kem, yang menempatkan lebih 100,000 pelarian Rohingya, kata wakil Pesuruhjaya Pelarian Bangladesh, Shamsud Douza. 

“Kami mengenakan sekatan mulai Khamis setelah lonjakan mendadak dalam kes COVID-19 di lima kem tersebut,” katanya. 

Pihak berkuasa Bangladesh telah mendirikan 34 kem di daerah tenggara Cox’s Bazar untuk hampir 900,000 pelarian Rohingya yang melarikan diri daripada penganiayaan dan keganasan di Myanmar. 

Mereka termasuk sekitar 740,000 pelarian Rohingya yang melarikan diri dari serangan tentera Myanmar pada Ogos 2017. 

Douza berkata, pihaknya juga telah meminimumkan pergerakan masuk ke kem kecuali bagi petugas kesihatan, makanan dan pengedaran gas.

Setakat Rabu sahaja, 45 daripada 247 pelarian Rohingya yang diuji disahkan positif COVID-19, dan jumlah sama juga pada Khamis. 

“Angka jangkitan amat membimbangkan,” kata Ketua Petugas Kesihatan Cox’s Bazar, Anupom Barua. 

Sejak virus itu dikesan tahun lalu di kem, pihak berkuasa Bangladesh mengawal ketat kemasukan pengunjung ke kawasan berkenaan, ekoran bimbang boleh menjejaskan penempatan padat pelarian. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button