Pendapat

Gencatan senjata 21 Mei 2021

Generasi hari ini perlu bangunkan semula sejarah yang amanah dengan disiplin ilmu sebenar

ALHAMDULILLAH dengan izin Allah dan dengan usaha gigih daripada para pejuang di Gaza, rejim Zionis terpaksa menerima gencatan senjata.

2. Bahasa yang difahami oleh rejim Zionis ialah bahasa kuasa dan kekuatan. Pejuang dari Gaza ‘bercakap’ dengan mereka dalam bahasa itu, agar rejim Zionis berhenti membinasakan bumi Palestin.

3. Seluruh umat Islam juga perlu faham dan belajar menggunakan bahasa ini dalam berhadapan dengan entiti seperti rejim Zionis dan juga rejim lain yang bersekutu dengan Zionis.

4. Generasi hari ini perlu bangunkan kekuatan umat Islam di setiap negara Islam khususnya dalam aspek teknologi dan ketenteraan. Setelah tempoh masa yang panjang negara-negara Islam berada di tempat yang corot dalam soal tersebut, tiba masanya umat Islam berfikir dan berusaha dengan serius untuk kembali menjuarainya.

5. Tempoh serangan rejim Zionis yang terkini juga diiringi dengan ‘serangan’ mereka dalam bentuk paparan sejarah dan naratif terpesong untuk menyokong kedudukan mereka. Akhirnya terdedah juga di Malaysia bahawa ada pihak yang menyokong naratif Zionis malah bersimpati dan menyokong naratif Zionis.

6. Ini berlaku kerana kefahaman sejarah di kalangan umat Islam khususnya masih berada di tahap yang lemah. Kita masih tidak menguasai sepenuhnya sejarah umat Islam sama ada di Palestin mahupun di tanah air kita, apatah lagi menguasai sejarah sebenar musuh seperti rejim Zionis.

7. Tanpa kefahaman sejarah yang kukuh dan mendalam, kita sebenarnya ‘rapuh’ dan mudah diperdaya. Kita juga tidak tahu titik kelemahan musuh yang sebenar jika kita tidak mengetahui sejarah mereka yang sebenar.

8. Dalam soal ini lebih banyak kajian perlu dilakukan kerana banyak fakta dan bukti sejarah telah diselewengkan oleh sarjana dan penulis yang dilahirkan daripada projek Zionis. Generasi hari ini perlu membangunkan semula sejarah yang amanah dengan disiplin ilmu yang sebenar.

9. Jika Zionis gigih menubuhkan banyak muzium holocaust di pelbagai negara, umat Islam juga perlu berusaha mewujudkan muzium-muzium (sama ada fizikal mahupun virtual) di seluruh dunia yang memaparkan naratif sejarah dunia Islam yang tidak diselaputi sebarang idea songsang Zionis.

10. Interdisciplinary Research and International Strategy – IRIS Institute – akan terus berusaha melakukan kajian dan analisis yang akan memandu para pemegang taruh di Malaysia dan dunia Islam amnya agar kita mampu membina semula kekuatan yang strategik. Misi menamatkan hegemoni Zionis adalah misi yang masih panjang.

Ustaz Syed Ahmad Israa’ Syed Ibrahim
Ketua Pegawai Eksekutif IRIS Institute (IRIS)

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button