Berita Utama

Pelancong judi: Respon MOTAC seolah berpihak, cuba lindungi sesuatu

Rakyat sedang marah, sentimen ‘double standard’ kini sangat kuat

BANGI, 9 Syawal 1442H, Jumaat – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) mengkritik kerajaan membenarkan pakej pelancongan perjudian beramai-ramai ke Genting Highland, ketika negara sedang berdepan lonjakan kes jangkitan harian COVID-19.

Meskipun, syarikat yang membawa rombongan pelancong dari Alor Setar itu mematuhi prosedur operasi standard (SOP), seramai lebih separuh daripada mereka yang disaring disahkan positif COVID-19.

Lebih mengecewakan apabila respon Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam isu itu seolah-olah berpihak atau cuba melindungi sesuatu, kata Pengerusi PEMBELA, Haji Aminuddin Yahaya.

“Itu baru sahaja rombongan dari Alor Setar. Bagaimana pula dengan rombongan yang lain?

“Kita mengharapkan agar ada ketegasan yang tuntas seperti menutup pusat perjudian atau menghentikan kebenaran pelancongan buat sementara waktu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, MOTAC memaklumkan syarikat pelancongan membawa pelancong dari Alor Setar ke Genting Highlands didapati mematuhi semua garis panduan Gelembung Pergerakan Pelancongan Bersasar Domestik yang ditetapkan.

“Siasatan awal mendapati syarikat penganjur mematuhi semua syarat yang ditetapkan dalam SOP Gelembung Pergerakan Pelancongan Bersasar Domestik bagi urusan perjalanan itu.

“Bagaimanapun selepas kembali dari Genting Highlands, terdapat penumpang yang mengalami gejala demam dan membuat pemeriksaan di klinik kesihatan,” katanya.

Tidak pasti apa kepentingan kerajaan terhadap syarikat perjudian gergasi itu, namun Haji Aminuddin menyifatkan respon mereka seolah-olah memberi gambaran bahawa SOP sedia ada tidak berkesan kerana dengan pematuhan juga jangkitan beramai-ramai masih berlaku.

“Apa yang pasti, rakyat sedang marah dan sentimen ‘double standard’ adalah sangat kuat dalam kalangan marhaen.

“Respon kementerian dalam isu ini pasti menyemarakkan lagi kemarahan rakyat. Tolonglah kita perlu serius menangani wabak yang membunuh ini.

“Ketepikan segala kepentingan kerana nyawa lebih bernilai,” katanya lagi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button