Berita Utama

Perang Palestin: Istiqamah, jihad jalan umat Islam capai kemuliaan

Seluruh dunia terhutang budi kepada Palestin kerana jaga maruah Islam

BANGI, 9 Syawal 1442H, Jumaat – Gerakan Islam Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) merakamkan ucapan tahniah kepada umat Islam di Palestin termasuk pemimpin dan rakyat atas kemenangan besar mereka meruntuhkan kesombongan negara pengganas Israel di dalam perang 10 hari Saiful Quds.

Presiden ISMA, Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni berkata, umat Islam seluruh dunia terhutang budi kepada rakyat Palestin yang telah menjaga maruah Islam untuk satu tempoh yang panjang.

“Justeru, mari bersama kita balas jasa tersebut dengan menyumbangkan apa yang kita miliki untuk pembangunan Palestin dan seterusnya pembebasannya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, ketegangan perang itu wajar menjadi pengajaran kepada Malaysia bahawa tiada jalan lain umat Islam mencapai kemuliaan, kecuali dengan istiqamah di atas prinsip dan berjihad dengan sepenuh upaya.

Sekitar jam 2 pagi waktu tempatan, Semenanjung Gaza secara rasminya meraikan kemenangan selepas rejim penjajah Israel terpaksa berundur menerusi gencatan senjata mulai hari ini.

Dalam satu kenyataan dari Pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu memaklumkan bahawa Kabinet keselamatan sebulat suara menerima cadangan Mesir untuk melaksanakan gencatan senjata tanpa syarat.

Keputusan itu disahkan juga oleh Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) dalam satu kenyataan, yang berkuat kuasa pada jam 2 pagi tadi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button