Berita Utama

PKP 3.0 diperketat dengan tambahan sekatan ke atas sektor ekonomi, sosial

Perincian akan diumumkan dalam sidang media Ismail Sabri esok

KUALA LUMPUR, 9 Syawal 1442H, Jumaat – Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN): Pengurusan COVID-19 hari ini memutuskan untuk mengetatkan lagi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang sedang berkuat kuasa dengan penambahan sekatan ke atas sektor ekonomi dan sosial.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan memaklumkan perincian mengenai sekatan tambahan itu akan diumumkan dalam sidang media Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob esok.

“Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN): Pengurusan COVID-19 pada petang ini yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah membincangkan secara mendalam situasi semasa penularan jangkitan COVID-19.

“Mesyuarat meneliti pembentangan Kementerian Kesihatan Malaysia berhubung status terkini kes COVID-19 termasuk kadar kebolehjangkitan, kapasiti kesihatan setiap negeri dan cadangan tindakan bagi mengawal penularan jangkitan COVID-19,” demikian menurut kenyataan itu.

Pada 10 Mei lepas, Muhyiddin mengumumkan pelaksanaan PKP 3.0 di seluruh negara berkuat kuasa 12 Mei hingga 7 Jun sebagai usaha untuk membendung penularan wabak COVID-19 yang semakin meningkat.

Kenyataan itu memaklumkan, sidang khas berkenaan turut melibatkan kerajaan negeri bagi mengambil kira situasi semasa di negeri masing-masing serta pandangan mereka terhadap usaha untuk mengekang penularan COVID-19.

Menurut kenyataan itu, prosedur operasi standard (SOP) bagi PKP 3.0 telah diperketatkan termasuk larangan rentas negeri dan daerah serta sekatan bagi aktiviti sosial, sukan dan rekreasi serta persidangan dan mesyuarat secara bersemuka.

“Namun begitu, penularan dalam komuniti yang semakin meningkat dan kewujudan varian baharu yang lebih agresif dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi menyebabkan usaha untuk melandaikan lengkung jangkitan mengambil masa yang lebih panjang,” katanya lagi. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button