Berita Utama

PKP 3.0: Moratorium perlu dipertimbang kepada penjaja, peniaga kecil

Lebih 60 peratus dijangka gulung tikar jika PKP dikuat kuasa

JOHOR BAHRU, 9 Syawal 1442H, Jumaat – Pemberian bantuan termasuk penangguhan terhadap bayaran balik pinjaman perniagaan, perlu dipertimbangkan kepada golongan penjaja, peniaga dan pengusaha industri kecil, sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dilaksanakan secara menyeluruh.

Presiden Majlis Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Melayu (GABUNG) Johor Zaini Atan berkata, hal ini kerana lebih 60 peratus daripada mereka di negeri ini dijangkakan gulung tikar akibat hilang pendapatan, jika perkara terbabit dikuatkuasakan.

Justeru itu beliau berharap, kerajaan mendengar keluhan persatuan bagi memastikan penyelesaian terbaik dapat dicapai.

“Saya minta kerajaan ambil serius keluhan ini kerana kesan akibat PKP 2.0 lepas, kira-kira 50 hingga 60 peratus (penjaja, peniaga dan pengusaha industri kecil) gulung tikar, dan sekiranya bantuan seperti moratorium tidak diberikan, jumlahnya akan terus meningkat (jika PKP 3.0 dilaksanakan),” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Turut hadir sidang media itu ialah Setiausaha Persatuan Penjaja Peniaga dan Pengusaha Industri Kecil Melayu Johor Bahru Mohammad Salezan Mohd Salleh dan Presiden Pertubuhan Persahabatan Negeri Johor Mohd Fairuz Iskandar.

Zaini berkata, untuk rekod, terdapat kira-kira 6,107 penjaja, peniaga dan pengusaha industri kecil di daerah Johor Bahru sahaja.

Menurutnya, kebanyakan daripada mereka ini tidak mencarum Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) untuk menikmati manfaat i-Sinar, oleh itu bantuan seperti moratorium dilihat penting bagi membantu mereka meneruskan kehidupan.

“Dalam mendepani PKP 3.0 itu, persatuan juga menasihatkan mereka supaya tidak mengeluarkan modal yang banyak dalam perniagaan, selain perlu mempertingkatkan lagi momentum perniagaan secara dalam talian,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button