Berita UtamaIstimewa

Zionis mengaku kalah isyarat langkah bebaskan Palestin semakin hampir!

Kehadiran Hamas buat negara haram fikir beribu kali untuk serang semula Semenanjung Gaza

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 9 Syawal 1442H, Jumaat – Tindakan pengganas Israel yang akur untuk mengenakan gencatan senjata tanpa syarat awal hari ini, memberikan isyarat jelas bahawa langkah membebaskan Palestin semakin hampir.

Bahkan, kemenangan dalam Perang Saif Al Quds kali ini berbeza dengan terdahulu, kerana ia memberi erti bahawa rejim Israel sudah tidak mampu lagi berdepan dengan Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas).

Pertempuran selama 11 hari itu juga memberi isyarat bahawa senjata Hamas bukan hanya terhad dalam mempertahankan Semenanjung Gaza semata-mata, tetapi di setiap sudut bumi Palestin.

Demikian tegas Amir Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman terhadap kejayaan Hamas dan sayap kanannya, Briged al-Qassam yang secara rasmi diisytiharkan awal hari ini.

“Muqawamah (Hamas) akan menjadi penentu kepada tingkah laku Zionis Israel selepas ini di mana sahaja bumi Palestin.

“Ini menjadikan langkah membebaskan Palestin semakin hampir,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Sekitar jam 2 pagi (waktu tempatan), Semenanjung Gaza secara rasminya meraikan kemenangan selepas rejim Israel terpaksa berundur menerusi gencatan senjata mulai hari ini.

Dalam satu kenyataan dari Pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu memaklumkan bahawa Kabinet keselamatan sebulat suara menerima cadangan Mesir untuk melaksanakan gencatan senjata tanpa syarat.

Keputusan itu disahkan juga oleh Hamas dalam satu kenyataan, yang berkuat kuasa pada jam 2 pagi tadi.

Mengulas lanjut, Ustaz Abdullah Zaik yakin kesan peperangan yang berlaku sejak minggu lalu, mendorong pengganas Israel mempertimbangkan pelbagai sudut untuk menyerang semula Gaza.

“Israel akan berkira seribu kali kalau mahu menyerang semula Semenanjung Gaza,” katanya.

Pertempuran di wilayah itu telah mengorbankan 232 rakyat Palestin termasuk 65 kanak-kanak, selain memusnahkan sebahagian besar bandar.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button