Berita Utama

HPKK UKM dijadikan hospital sementara COVID-19: KP Kesihatan

KKM dapat pemilikan sementara bangunan melalui Ordinan Darurat 2021

BANGI, 10 Syawal 1442H, Sabtu – Hospital Pakar Kanak-Kanak Universiti Kebangsaan Malaysia (HPKK UKM) bakal dijadikan sebagai Hospital COVID-19.

Perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan, sebentar tadi.

Beliau berkata, pihak pengurusan tertinggi Kementerian Kesihatan (KKM) dan UKM telah bertemu untuk membincangkan mengenai cadangan itu, sebagai langkah menangani peningkatan mendadak kes COVID-19 kategori 4 dan 5 yang memerlukan katil rawatan kritikal atau unit rawatan rapi (ICU).

“Malaysia mengalami peningkatan kemasukan ke ICU di seluruh negara sebanyak 60 peratus jika dibanding dngan tempoh dua minggu lepas, manakala Lembah Klang mencatat peningkatan lebih 94 peratus berbanding tempoh yang sama.

“Kadar penggunaan katil ICU di hospital-hospital di Lembah Klang kini adalah melebihi 100 peratus,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, melalui Seksyen 3 dan 4 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, KKM dapat melaksanakan pemilikan sementara bangunan dan permintaan penggunaan sumber (termasuk sumber manusia) hospital pengajar serta swasta bagi maksud menangani wabak.

“HPKK UKM merupakan hospital pengajar yang baru siap dibina dan terletak bersebelahan dengan Hospital Canselor Tuanku Muhriz.

“Hospital ini mempunyai kapasiti 243 katil termasuk 28 katil rawatan kritikal atau ICU yang berpotensi digunakan sementara sebagai hospital yang merawat COVID-19 khususnya mereka dengan gejala yang serius.

“Setinggi-tinggi penghargaan kepada UKM di atas segala kerjasama yang diberikan. Semoga dipermudahkan segala urusan dalam menangani pandemik COVID-19,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button