Tarbiyah

Kenapa solat dalam keadaan malas?

Membezakan antara orang yang beriman dan munafik

1. DALAM al-Quran, Allah menjelaskan tentang salah satu sikap orang munafik adalah mereka mendirikan solat dalam keadaan malas. Firman Allah:

وَإِذَا قَامُوا إِلَى الصَّلَاةِ قَامُوا كُسَالَى

“Dan apabila mereka hendak mendirikan solat, mereka berdiri dalam keadaan malas.”

2. Ketika menghuraikan ayat ini al-Imam al-Qurtubi menjelaskan bahawa sifat orang munafik ini sangat bertentangan dengan sifat orang yang beriman. Ini kerana orang beriman itu mereka mendirikan solat dalam keadaan khusyuk. Firman Allah:

قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ * الَّذِينَ هُمْ فِي صَلاتِهِمْ خَاشِعُونَ

Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman. Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya.”

3. Menghuraikan mengenai penyakit orang munafiq ini, al-Imam al-Tabari menjelaskan bahawa punca mereka bersikap begini adalah kerana mereka tidak meyakini akan adanya hari kebangkitan. Dengan itu mereka mendirikan solat dalam keadaan yang leka dan bermalas. Kata al-Tabari:

لأنهم غير موقنين بمعادٍ ولا ثواب ولا عقاب، وإنما يعملون ما عملوا من الأعمال الظاهرة إبقاءً على أنفسهم

Ini kerana mereka tidak meyakini akan hari pembalasan, tidak percaya pada pahala dan dosa. Sesungguhnya mereka sekadar mendirikan solat kerana untuk menunjukkan (menzahirkan) amalan mereka agar mereka boleh kekal hidup (seperti biasa) dengan manusia lain.”

4. Manakala al-Maududi pula melihat dari aspek kesungguhan mendirikan solat sebagai salah satu elemen paling penting yang membezakan antara orang yang beriman dan orang munafik.

Kesungguhan dan kecintaan mendirikan solat membayangkan penjiwaan yang terbentuk dalam diri seorang mukmin yang menghayati kepentingan solat dalam kehidupan mereka. Ia adalah ruang dialog secara terus antara hamba dengan Tuhannya.

Semoga Allah membimbing kita.

Dr Ahmad Sanusi Azmi
Setiausaha Majlis Ulama Isma

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button