Berita Utama

Kadar penggunaan katil ICU COVID-19 Lembah Klang cecah 113 peratus

Bantu KKM dengan ‘lockdown’ kendiri di rumah untuk putuskan rantaian

BANGI, 10 Syawal 1442H, Sabtu – Ketua Pengarah Kesihatan hari ini mengesahkan kadar penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) COVID-19 secara keseluruhannya di Lembah Klang, telah mencecah 113 peratus.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan berkata, daripada 12 hospital yang disenaraikan, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang telah mencecah 117 peratus.

Menerusi data yang dikongsikan, kadar penggunaan katil ICU COVID-19 di Hospital Sungai Buloh kini mencecah 111 peratus, Hospital Selayang (73 peratus), Hospital Ampang (113 peratus), Hospital Serdang (172 peratus) dan Hospital Shah Alam (92 peratus).

Sementara, di Hospital Banting pula sudah mencecah 200 peratus, Hospital Kajang (317 peratus), Hospital Kuala Lumpur (98 peratus), Hospital Putrajaya (88 peratus), Pusat Perubatan Universiti Malaya (94 peratus) dan Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan (86 peratus).

“Foto-foto berikut menunjukkan keadaan di HTAR yang penuh sesak dengan pesakit kritikal COVID-19.

“Wad-wad biasa juga digunakan untuk merawat pesakit-pesakit ini kerana kadar penggunaan sudah melebihi 100 peratus,” katanya.

Atas sebab itu, Dr Noor Hisham berkata, hospital-hospital Kementerian Kesihatan (KKM) kini terpaksa menukar fungsi lain-lain kawasan di dalam hospital seperti wad biasa untuk dijadikan ICU sementara, dan melengkapkan katil dengan peralatan perubatan tertentu.

“Virus COVID-19 berada di dalam komuniti. Patuhilah SOP dan duduk di rumah jika tiada urusan penting di luar.

“Bantu KKM dengan ‘lockdown’ kendiri untuk putuskan rantaian jangkitan COVID-19,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button