Berita Utama

PKP 3.0: Sekatan tambahan kurangkan pergerakan rakyat

Ianya sekali gus mengelak penularan lebih serius COVID-19

PUTRAJAYA, 10 Syawal 1442H, Sabtu – Sekatan tambahan bagi mengetatkan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 akan dibuat melalui dua strategi iaitu arahan bekerja dari rumah (BDR) serta mengehadkan waktu operasi perniagaan berkuat kuasa 25 Mei bagi seluruh Semenanjung dan Labuan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ia bertujuan mengurangkan pergerakan orang ramai sekali gus mengelak penularan lebih serius COVID-19.

Beliau berkata arahan BDR itu meliputi 80 peratus kakitangan awam iaitu melibatkan kira-kira 750,000 pekerja dan 40 peratus di sektor swasta melibatkan lebih enam juta pekerja.

“Pengangkutan awam seperti LRT dan bas juga dihadkan dengan hanya 50 peratus kapasiti penumpang sahaja dan kekerapan juga akan dikurangkan,” katanya pada sidang media perkembangan PKP di sini hari ini.

Beliau berkata waktu operasi perniagaan antaranya bagi pusat beli-belah, kedai serbaneka, gerai, dobi dan stesen minyak (kecuali di lebuh raya) pula dihadkan dari 8 pagi hingga 8 malam sahaja berbanding 6 pagi hingga 10 malam sebelum ini. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button