Berita Utama

Rejim pengganas Israel tak pernah ikhlas berdamai, hanya biadab berterusan

Kegagalan PBB hantar tentera pengaman hanya tunjuk sikap pilih kasih

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 10 Syawal 1442H, Sabtu – Tindakan rejim Zionis Israel melanggar sebarang bentuk perjanjian dan perdamaian merupakan hakikat kebiadaban yang sudah menjadi darah daging dalam diri mereka. 

Insiden serangan polis negara pengganas itu terhadap para jemaah di Masjid al-Aqsa tengahari semalam, adalah tabiat rejim Zionis Yahudi semenjak berabad dahulu, tegas Presiden Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Ustaz Zamani Ibrahim. 

“Ketika dia kuat, maka terserlah hakikat kebiadabannya, apabila di saat dia berasa kalah dan lemah, maka baru tunduk terduduk untuk mohon perdamaian. 

“Namun perdamaian atau gencatan senjata tersebut bukan lahir daripada keikhlasan mereka. Bangsa rejim Zionis tidak ada sekelumit kuman keikhlasan dalam diri mereka.

“Inilah yang berlaku baru-baru ini. Hanya baru beberapa jam diumumkan gencatan senjata, mereka terus melanggarnya. Walaupun dunia seluruhnya telah tahu gencatan tersebut tetapi rejim Zionis tetap menunjukkan hakikat kebiadabannya,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Dek kerana itulah, katanya, Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas), sejak dari awal lagi telah memberitahu bahawa sekiranya rejim Israel melanggar gencatan tersebut, maka mereka juga menyambut kebiadaban itu tanpa bertangguh.

Semalam, belum sampai 24 jam gencatan senjata berkuat kuasa, rejim Zionis bertindak menyerbu ruang sekitar Masjid al-Aqsa dan melepaskan gas pemedih mata ke arah rakyat Palestin yang baru sahaja selesai menunaikan solat Jumaat.

Al-Jazeera melaporkan, sebaik selepas solat Jumaat, jemaah melaungkan slogan meraikan gencatan senjata antara Hamas dan Israel.

Namun, polis Israel kemudiannya bertindak melepaskan bom asap dan gas pemedih mata kepada jemaah.

Bahkan, mereka turut naik ke bumbung Masjid al-Qibli serta mengacu senapang ke arah orang awam yang berada berhampiran.

Bangkit menentang kelakuan itu, BERJASA membidas kebiadaban rejim pengganas Israel dan menggesa seluruh dunia untuk bertindak melawan kezaliman mereka.

Ustaz Zamani menegaskan, membidas kebiadaban mereka ini mesti diikuti dengan tindakan yang adil oleh pihak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan juga Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

“PBB dan OIC mesti menzahirkan keadilannya dalam membela Palestin dan rakyat Palestin. Bantuan tentera pengaman PBB hendaklah segera digerakkan seperti mana dalam membela negara-negara lain sebelum ini.

“PBB tidak boleh tunduk kepada mana-mana suara pimpinan dunia yang ada kepentingan dengan rejim Israel. 

“Kegagalan PBB untuk menghantar tentera pengaman seolah-olah mengambarkan PBB terlalu pilih kasih dalam bertindak sesuai dengan objektif penubuhan PBB itu sendiri,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button