Berita Utama

Tak wajar GIACC dimansuh, peranannya patut diperluaskan

Kerajaan patutnya sokong usaha banteras rasuah, salah guna kuasa

BANGI, 7 Jamadilakhir 1444H, Sabtu – Tidak wajar Pusat Governas, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC) dimansuhkan berikutan agensi itu banyak membantu kerajaan menyelaras semua aktiviti berkaitan tadbir urus, integriti dan antirasuah negara.

Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Wilayah Persekutuan, Mahathir Mohd Rais berkata, peranan agensi itu perlu diperluaskan lagi kerana bertanggungjawab merancang, menggubal strategi dan menilai polisi dalam toleransi semua urusan kerajaan.

“GIACC ini adalah di bawah Jabatan Perdana Menteri, sepatutnya ia lebih mudah ditadbir dan diurus mengapa ia tidak diteruskan sedangkan kewujudannya bermanfaat untuk negara

“Mereka yang menerajui GIACC juga terdiri daripada mereka yang profesional, sepatutnya kerajaan yang wujud hari ini menyokong supaya lebih banyak lagi usaha bantu banteras rasuah dan salah guna kuasa.

“Selain itu, ia juga dapat bertindak melindungi rakyat daripada pemimpin dan penguatkuasa korup yang boleh menyebabkan institusi masyarakat musnah dengan amalan rasuah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung langkah kerajaan meneliti cadangan membubarkan Pusat GIACC, kerana didapati berlaku pertindihan antara agensi penguatkuasa iaitu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Mahathir berpandangan, alasan untuk mengurangkan kos kerajaan dan pertindihan kuasa juga seolah-olah sengaja direka bagi menghalalkan pemansuhan itu.

Beliau menegaskan, kajian mengenai GIACC wajar dilakukan dengan cara tidak berat sebelah dan perlu membabitkan pihak berkuasa yang sepatutnya.

“Jika keputusan itu nanti sekadar menyatakan GIACC terpaksa dimansuhkan kerana peranan badan itu yang kecil, ia satu kesilapan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyarankan supaya Majlis Pemulihan Negara (MPN) juga diteruskan berikutan telah memainkan peranan penting mengharungi keadaan kritikal ekonomi global akibat pandemik COVID-19.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button