Berita Utama

Perang Palestin: Mana suara cauvinis Cina, India?

Hanya kedengaran penghinaan terhadap PM sokong perjuangan Palestin

BANGI, 11 Syawal 1442H, Ahad – Sikap membisu wakil parti politik mahupun pertubuhan cauvinis Cina dan India negara ini mengutuk kekejaman rejim pengganas Israel ke atas pejuang Palestin menimbulkan tanda tanya.

Mantan Ahli Jawatankuasa Pusat Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Omar Kassim tidak menolak kemungkinan kesepian di Malaysia – berbanding negara lain – disebabkan sunyinya parti politik dan badan utama kaum Cina dan India dalam isu berkenaan.

“Tidak kedengaran kenyataan tegas menyokong perjuangan warga Gaza dan Palestin atau mengutuk kekejaman Israel.

“Yang lebih kedengaran ialah penghinaan terhadap Perdana Menteri sendiri apabila Malaysia tegas menyokong perjuangan Palestin,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.

Beliau berkata demikian dipercayai merujuk kepada kebiadaban Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baru Klang, Datuk Teng Chang Khim yang memberi komen negatif berhubung pendirian tegas Malaysia terhadap kezaliman yang dilakukan rejim Zionis Israel ke atas Palestin.

Terdahulu, Chang Khim yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Selangor didakwa memuat naik komen di Facebook yang mengkritik Perutusan Khas Mengenai Palestin oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dalam hantaran Facebook beliau – yang sudah dipadam – ADUN DAP itu menyifatkan kenyataan Perdana Menteri yang disampaikan melalui perutusan khas hanya sekadar mahu mengalih perhatian rakyat.

Walhal katanya, Muhyiddin sepatutnya mengutamakan nyawa rakyat Malaysia yang terancam akibat COVID-19.

Meskipun begitu, Haji Omar merakamkan ucapan syabas kepada atlet dan jurulatih sukan negara yang melancarkan Tabung Kemanusiaan Palestin Warga Sukan secara dalam talian semalam.

“Syabas buat para atlet dan jurulatih, khususnya yang bukan muslim. Dalam keadaan parti politik dan pertubuhan cauvinis Cina dan India membisu, muncul nama-nama seperti Datuk Nicol Ann David dan Kirtana Ramasamy tampil menyatakan sokongan.

“Kita tertanya-tanya mengapa sokongan terhadap kekejaman Israel sangat sepi di kalangan masyarakat bukan Islam di Malaysia berbanding sokongan padu yang berlaku di Eropah dan di Amerika Syarikat (AS) sendiri.

“Di London semalam dikhabarkan perarakan hampir dua km dengan kehadiran dianggarkan lebih 500,000 orang,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button