Berita Utama

Selain apartheid, rejim pengganas sedang lakukan penghapusan etnik

Kekejaman Israel setiap hari bukti pengganas sebenar

BANGI, 11 Syawal 1442H, Ahad – Tindakan kejam rejim penjajah lsrael ke atas penduduk Palestin memberi imej dan perspektif baharu bahawa mereka inilah sebenarnya pengganas.

Bahkan, penindasan kejam Israel terhadap penduduk peribumi Palestin dipandang seperti dasar apartheid yang pernah dilaksanakan regim kulit putih di Afrika Selatan dari 1948 hingga awal 1990-an – yang mendapat kecaman seluruh dunia serta disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Bagi sesetengah wartawan dan pengulas, rejim Zionis bukan sekadar melancarkan dasar apartheid yang amat hina dan terkutuk, tetapi sedang mengamalkan dasar ‘penghapusan etnik’, kata Profesor Emeritus di Fakulti Pengajian Pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Menurut Datuk Dr Wan Hashim Wan Teh, ini lebih menakutkan, di samping ia juga sesuatu yang amat hina lagi terkutuk bagi semua negara pendukung demokrasi serta penganut Kristian dan Yahudi orthodox.

“Bagi mereka, perbuatan ini dianggap ‘jenayah terhadap kemanusiaan’,” katanya menulis di Berita Harian.

Dari satu perspektif, beliau berkata, serangan dan kekejaman yang membawa kepada semakin ramai rakyat Islam terkorban – terutama kanak kanak, belia dan wanita – memberi imej buruk kepada Israel.

Jelasnya, kerajaan Israel melalui anggota tenteranya yang bertindak sebagai samseng dan pengganas sedang melakukan apa yang diistilahkan sebagai dasar penghapusan etnik.

Justeru, sebagai strategi perjuangan baharu, apa yang perlu dilakukan rakyat Palestin serta semua warga dunia yang bersimpati dengan nasib malang mereka ialah membongkar dan membuat pendedahan seluasnya kepada masyarakat dunia tentang kekejaman kerajaan dan tentera Israel.

“… yang boleh di rumuskan sebagai ‘kekejaman terhadap kemanusiaan’, menerusi kedua-dua perlakuannya yang keji iaitu gabungan dasar apartheid dan penghapusan etnik terhadap warga serta peribumi Palestin yang dijajah Israel Zionis,” katanya.

Selain itu katanya, tekanan juga perlu diberikan kepada PBB bagi mencari formula penyelesaian tuntas kepada konflik yang sudah berdekad lamanya dan mengakibatkan nyawa ribuan manusia tidak berdosa terkorban.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button