Berita Utama

Berterusan serang Palestin, Zionis sedang provokasi umat Islam seluruh dunia

Beban ini tak boleh digalas Palestin saja, perlu dibantu negara Islam lain

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BAITULMAQDIS, 12 Syawal 1442H, Isnin – Sikap melampau polis pengganas Israel terhadap rakyat Palestin ketika ini terutama sekali selepas gencatan senjata merupakan tindakan yang dibuat atas dasar malu dan sakit hati ekoran ‘kekalahan’ rejim itu tempoh hari.

Apa yang mereka mampu lakukan sekarang ini adalah membalas dendam, satu tindakan yang juga dilihat sebagai provokasi terhadap umat Islam bukan sahaja di Palestin, tetapi seluruh dunia.

Tiga hari lalu (21 Mei), polis pengganas Israel dilaporkan menyerbu Masjid al-Aqsa selepas selesai solat Jumaat bahkan mencederakan jemaah di sana dengan melemparkan bom asap dan gas pemedih mata, meskipun baru sahaja bersetuju untuk gencatan senjata jam 2 pagi hari yang sama.

Beberapa hari kemudian, penduduk Yahudi mula menyerbu masuk ke Masjid al-Aqsa sementara rakyat Palestin dihalang masuk dan dihalau keluar daripada kawasan itu.

Pasukan polis pengganas Israel kini sedang rancak memulakan kempen menangkap rakyat Palestin yang didakwa menyertai protes baru-baru ini.

Agensi berita Shehab melaporkan, kempen penahanan itu menyasarkan untuk menangkap sejumlah 500 orang Arab Palestin di rumah mereka.

Mengulas situasi itu, Ahli Jawatankuasa Pusat Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Norzaimeen A Kadir menegaskan, selagi seluruh Palestin tidak dikuasai dan diduduki hanya bangsa Yahudi, maka selagi itu mereka akan membuat kekacauan, kezaliman di samping tidak menghiraukan sebarang syarat perdamaian atau gencatan senjata.

Beliau menegaskan, situasi dan beban seperti ini tidak boleh diletakkan pada bahu negara Palestin sahaja, tetapi memerlukan bantuan kuat daripada negara Arab sekeliling serta negara Islam yang lain.

“Seluruh negara Arab keliling Palestin, terutama yang termasuk dalam ‘Israel Raya’ mereka itu, sepatutnya insaf dan belajar dari sikap ganas, haloba dan khianat Yahudi ini. 

“Kalau dibiarkan Palestin berjuang sendirian, satu masa nanti nasib mereka juga akan sama seperti Palestin. Waktu itu mungkin sudah terlalu lewat untuk mereka bangkit melawan,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Tidak ketinggalan juga Malaysia, yang sepatutnya tidak menyokong penyelesaian dua negara, katanya.

“Tiba masanya Malaysia di bawah kepemimpinan Muhyiddin Yassin lebih lantang mengecam dan berkeras dalam isu ini serta mengajak semua negara Islam, terutama negara Arab keliling Palestin itu untuk bersama-sama dengan Palestin. 

“Bukannya harap pada rakyat Malaysia sahaja,” tegasnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button