Berita Utama

G4P syor perkenal subjek Sejarah Palestin di sekolah, IPT

Wujudkan modul sejarah pahlawan, pejuang Palestin

BANGI, 12 Syawal 1442H, Isnin – Atas dasar solidariti, Gabungan Pertubuhan Pendidikan Peduli Palestin (G4P) mengesyorkan kerajaan memperkenalkan subjek Sejarah Palestin di peringkat sekolah rendah dan menengah hingga ke institusi pendidikan tinggi (IPT).

Ketua Sekretariat G4P, Mohd Azizee Hasan berkata, kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) boleh mewujudkan modul-modul mengenai sejarah kepahlawanan dan keperwiraan pejuang-pejuang Palestin.

Katanya, tindakan itu untuk menyemai semangat patriotik mempertahankan sejarah bangsa yang berdaulat melalui aktiviti ko-kurikulum badan beruniform.

“Kami menyeru semua pihak untuk bersama-sama bersolidariti membantu rakyat Palestin yang tertindas dan berjuang untuk kemerdekaan Palestin. 

“Kami menyakini perjuangan rakyat Palestin adalah perjuangan mempertahankan jati diri identiti bangsa, menolak normalisasi dan memastikan entiti kewujudan negara Palestin sebagai satu negara yang berdaulat daripada segi perundangan.

“Kami juga yakin kewujudan negara Israel melanggar hak asasi manusia dan sempadan perundangan antarabangsa dan menjalankan dasar-dasar Aparteid.

“Justeru itu, kami menggesa khususnya KPM memperkenalkan subjek Sejarah Palestin di peringkat sekolah rendah dan menengah hingga ke IPTA,” katanya mewakili G4P dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Ustaz Mohd Azizee berkata, kisah sejarah rakyat Palestin boleh dimasukkan dalam subjek sivik dan kewarganegaraan berkaitan hak asasi manusia untuk diambil pengajaran dalam kerangka membina keharmonian kaum di Malaysia.

Selain itu, kementerian boleh turut sama mengadakan kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan isu Palestin demi memberikan kesedaran kepada generasi pelajar sejak di peringkat sekolah lagi.

“Gabungan Pendidikan 4P juga menyeru semua pihak menunjukkan tanda solidariti kepada rakyat Palestin.

“… serta mendesak pihak kerajaan Malaysia mengambil langkah drastik mengusahakan keamanan dan kemerdekaan Palestin serta penyelesaian strategik konflik Timur Tengah,” katanya.

Gabungan Pendidikan 4P melibatkan Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru), Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (Mappim), Pertubuhan Pendokong Sekolah Agama Rakyat Perak (PPSR) dan Pertubuhan Kebajikan Pendidik Ummah Malaysia (Pendidik).

Selain itu, turut sama, Pertubuhan Keilmuan Nasional, Gabungan Sekolah Islam Selangor (GASIS), Rabitah Institusi Pendidikan Rakyat Terengganu (Rabitah), Kesatuan Kebangsaan Guru Agama Malaysia Barat (KKGAMB) serta Gabungan Sekolah Islam (GAPIS).

Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Majlis Taawun Pusat Pendidikan Islam Pahang (MANTAP), Pembangunan Pendidikan Islam Sabah (PISA), Pertubuhan prihatin Tunas Islam Serawak (PUITIS) dan Pertubuhan Hal Ehwal Sekolah Agama Kedah (HESA) juga antara NGO yang terbabit.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button