Berita Utama

Keputusan cabar tangguh laksana Undi 18 pada 17 Jun

Undang-undang tertentu perlu dipinda sebelum laksana AVR

KUALA LUMPUR,  12 Syawal 1442H, Isnin – Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, menetapkan 17 Jun ini untuk menyampaikan keputusan mengenai tindakan perundangan yang diambil oleh 18 anak muda Malaysia bagi mencabar tindakan kerajaan menangguhkan pelaksanaan Undi 18, iaitu langkah menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun dan pendaftaran pengundi automatik (AVR).

Anak muda terbabit yang mewakili gerakan Undi 18 memfailkan permohonan kebenaran untuk semakan kehakiman dan menamakan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, kerajaan serta Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia selaku responden.

Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujah peguam mewakili kumpulan anak muda terbabit, Datuk S. Ambiga dan Datuk Dr Gurdial Singh Nijar, serta Peguam Persekutuan Kanan Shamsul Bolhassan bagi pihak Jabatan Peguam Negara yang mewakili kesemua responden.

Terdahulu,  Shamsul  ketika membantah permohonan 18 belia itu, berhujah bahawa undang-undang dan peraturan tertentu perlu dipinda sebelum AVR boleh dilaksanakan.

“Pemohon menghujahkan bahawa penguatkuasaan dan pelaksanaan Seksyen 3(a) dan Seksyen 3(b) Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019 boleh dilakukan secara berasingan. Justeru, pendaftaran individu yang layak boleh dibuat secara manual dan AVR boleh dilaksanakan kemudian,” katanya.

Seksyen 3(a) adalah mengenai penurunan had umur mengundi daripada 21 kepada 18 tahun sementara Seksyen 3(b) bagi membolehkan pendaftaran pengundi automatik untuk menggantikan sistem semasa yang mana warganegara Malaysia perlu memohon bagi didaftarkan sebagai pemilih.

Kedua-dua pindaan ini belum lagi dikuatkuasakan.

Bagaimanapun kata Shamsul, penguatkuasaan dan pelaksanaan pindaan perlembagaan itu tidak boleh dilakukan secara berasingan kerana penguatkuasaan dan pelaksanaan AVR adalah keterbalikan permohonan pendaftaran oleh individu yang layak.

“Kami katakan bahawa pemohon tidak ada kes. Permohonan pemohon bersandarkan pada penguatkuasaan dan pelaksanaan pindaan perlembagaan yang hanya boleh dibuat  menerusi pindaan-pindaan perlu terhadap peruntukan undang-undang yang berkaitan.

“Berdasarkan kepada alasan-alasan tersebut, saya mohon agar permohonan bagi kebenaran semakan kehakiman ini ditolak,” katanya.

Ambiga bagaimanapun menghujahkan bahawa terdapat kira-kira 1.2 juta anak muda berusia 18 hingga 20 tahun pada Julai tahun ini yang akan terjejas akibat tindakan kerajaan menangguhkan pelaksanaan Undi 18.

Peguam itu berkata, keputusan kerajaan untuk tidak menguatkuasakan serta-merta Seksyen 3(a) sebelum Julai 2021 memberikan kesan buruk kepada 18 pemohon terbabit kerana mereka tidak dapat mendaftarkan diri dalam daftar pemilih.

“Akibatnya, pemohon tidak boleh mengundi dalam mana-mana pilihan raya selepas 1 Julai 2021 dan sebelum September 2022, termasuk kemungkinan tidak boleh mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15,” katanya.

Pada 2 April lepas, anak muda berusia antara 18 dan 20 tahun terbabit memfailkan tindakan undang-undang memohon beberapa perintah mahkamah berkaitan penangguhan pelaksanaan Undi 18 oleh responden.

Dalam permohonan itu, kumpulan anak muda terbabit memohon perisytiharan bahawa tindakan kerajaan menangguhkan penguatkuasaan penurunan had umur mengundi daripada 21 kepada 18 tahun adalah tidak rasional, tidak sah, tidak seimbang serta merupakan satu bentuk penindasan pengundi.

Pemohon juga mahukan satu perisytiharan bahawa mereka yang berusia 18 hingga 20 tahun mempunyai harapan yang berasas bahawa mereka akan berhak untuk mengundi pada atau sebelum Julai 2021.

Anak muda terbabit turut memohon perisytiharan bahawa keputusan responden menangguhkan penguatkuasaan Seksyen 3(a) sebagai satu bentuk penindasan kepada pengundi yang berusia 18 hingga 20 tahun pada Julai 2021. -Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button