Berita Utama

Kerajaan tunggu Arab Saudi umum jumlah kuota jemaah haji

TH bermesyuarat dengan KKM bagi persedian kesihatan jemaah haji

KUALA LUMPUR, 12 Syawal1442H, Isnin  – Kerajaan dan Lembaga Tabung Haji (TH) masih menunggu pengumuman rasmi daripada Kerajaan Arab Saudi berkaitan jumlah kuota jemaah haji negara, kriteria pemilihan dan kaedah pelaksanaan ibadah untuk musim haji kali ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, kerajaan akur dengan apa jua keputusan berkenaan kebenaran mengerjakan ibadah haji serta kuota jemaah haji negara daripada Kerajaan Arab Saudi, dan akan mengumumkan keputusannya sejurus mendapat kenyataan rasmi negara berkenaan.

“Mewakili Kerajaan Malaysia dan TH, saya ingin menjunjung kasih atas keprihatinan Raja Salman Abdulaziz dan sekalung penghargaan kepada Kerajaan Arab Saudi atas usaha dan komitmen dalam menyediakan perkhidmatan cemerlang saban tahun kepada jemaah haji seluruh dunia khususnya Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, persiapan operasi haji di tanah air dan di Tanah Suci telah dimulakan dan sedang giat dijalankan sejak tahun lepas.

“Bagi operasi haji tanah air, persiapan awal telah diperkukuhkan dengan mengambil kira amalan norma baharu di stesen berlepas semasa bakal haji melapor diri.

“Manakala di Tanah Suci, persiapan telah dilakukan di Makkah dan Madinah dari segi penginapan, pengangkutan, penerbangan, sajian makan dan sebagainya,” katanya.

Zulkifli berkata, TH juga telah mengadakan beberapa siri mesyuarat dan bengkel secara berkala dengan Kementerian Kesihatan Malaysia bagi persediaan kesihatan dan keselamatan jemaah haji di Tanah Suci.

Menurutnya, Kursus Asas Haji selama 13 minggu secara dalam talian juga telah berjaya dianjurkan dengan lancar di seluruh negara bagi melengkapkan bakal jemaah haji dengan ilmu pengetahuan dan maklumat terkini serta gambaran suasana semasa di Tanah Suci.

Katanya, bakal jemaah haji juga telah disaran mendaftar sebagai penerima vaksin menerusi aplikasi MySejahtera atau laman sesawang www.vaksincovid.gov.my bagi memenuhi prasyarat wajib Kerajaan Arab Saudi iaitu pengambilan vaksin COVID-19 samada Pfizer, AstraZeneca, Johnson & Johnson atau Moderna sahaja.

Selain itu, beliau turut meminta bakal jemaah haji bersedia untuk mengambil suntikan wajib vaksin meningococcal.

“Saya ingin menasihatkan bakal jemaah haji untuk bersabar dan membuat persiapan sebaiknya dari sudut ilmu, fizikal, spiritual dan semestinya mendaftar untuk pengambilan vaksin COVID-19 agar pelaksanaan ibadah ibadah haji di Tanah Suci kelak berjalan lancar.

“Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita ‘afiah, ketabahan dan kesabaran dalam menghadapi pandemik COVID-19 ini,” katanya. -Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button