Berita Utama

MCMC kecewa penyedia platform media sosial lewat tangani akaun palsu

Bimbang usaha lindung pengguna terencat sehingga sebabkan kerugian

BANGI, 12 Syawal 1442H, Isnin – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) kecewa dengan sikap pihak penyedia platform media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram, Whatsapp dan Telegram kerana tidak bertindak pantas terhadap laporan yang dikemukakan dalam menangani isu akaun palsu, khususnya bagi tujuan penipuan.

MCMC bimbang kelewatan tindakan berhubung perkara ini akan merencatkan usahanya dalam melindungi pengguna daripada akaun-akaun palsu, terutamanya yang menyamar dan menyalahgunakan identiti individu serta entiti lain sehingga menyebabkan kerugian wang ringgit.

Jabatan Komunikasi Korporat MCMC dalam satu kenyataan berkata, memandangkan platform berkenaan tidak dilesenkan kerana beroperasi di luar Malaysia, pihaknya sangat bergantung kepada tindakan yang dibuat oleh pihak penyedia platform.

“Justeru, MCMC menggesa pihak penyedia platform untuk lebih bertanggungjawab, responsif dan bertindak pantas terhadap setiap laporan yang dikemukakan oleh suruhanjaya.

“Dalam masa sama, pihak penyedia platform secara langsung mempunyai tanggungjawab bagi memastikan platform yang dihoskan pihak mereka adalah selamat kepada pengguna,” katanya, hari ini.

MCMC berkata, tindakan pantas yang diambil adalah penting dan perlu demi melindungi kepentingan serta keselamatan pengguna.

“Pihak MCMC sekali lagi ingin menasihatkan pengguna supaya berwaspada, kekal selamat dan menjadi seorang pengguna bertanggungjawab yang mengamalkan penggunaan internet berhemah.

“Elakkan daripada menjadi mangsa kepada akaun-akaun palsu dan menyalahgunakan rangkaian media sosial,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button