Artikel Khas

Siri 2: Menuju Hari Peradaban Bangsa Melayu

Dalam catatan sejarah China, orang Melayu dikenali sebagai bangsa sopan, bijak ilmu falak dan ada peradaban yang tinggi

1. SALAH satu perkara yang elok juga juga untuk orang Melayu fahami adalah asas pemilihan yang digunakan oleh generasi dahulu dalam pentakrifan Melayu di tanahair kita ini. Ianya agak berbeza dengan pendekatan beberapa negara jiran kita yang mentakrifkan Melayu dengan takrifan mereka yang tersendiri.

2. Jika di Indonesia, Melayu adalah salah satu etnik nusantara yang tinggal di Riau Darat atau Riau Laut. Kawasan itu dahulunya adalah termasuk di dalam Empayar Melaka; iaitu sebahagian pesisiran pantai timur Sumatera (Pekan Baru, Asahan dan sekitarnya) dan kepulauan Riau (Batam, Tanjung Pinang, Penyengat, Lingga dan sekitarnya). Mereka fasih bertutur bahasa Melayu dengan dialek orang Johor. Makan nasi dagang, asam pedas dan otak-otak. Mereka berpantun dan menyanyikan lagu dondang sayang.

Manakala etnik lain di Indonesia seperti Jawa, Acheh, Kutai, Bugis, Toraja dan lain-lain tidak dianggap sebagai etnik Melayu.

3. Manakala di Brunei, Melayu ditakrifkan sebagai puak jati dari Melayu Brunei. Ia mula ditakrifkan pada tahun 1961, apabila Undang-Undang taraf kerakyataan NBD mula dibuat. Undang-undang itu dipanggil sebagai Undang-Undang Taraf Kebangsaan Brunei (UUTKB) 1961 dan berkuat kuasa pada 1 Januari 1962. Puak jati Melayu Brunei itu meliputi tujuh etnik iaitu:

a. Puak Melayu Brunei
b. Puak Dusun
c. Puak Belait
d. Puak Murut
e. Puak Bisaya
f. Puak Tutong
g. Puak Kedayan

4. Manakala negara lain di nusantara pula menganggap Melayu sebagai etnik keturunan yang bertutur menggunakan bahasa Melayu dan mengamalkan adat istiadat Melayu walau pun mungkin nipis sahaja. Etnik Campa di Kemboja dan Vietnam dikenali sebagai Melayu. Penduduk di selatan Thailand (Yala, Patani, Naratiwat, Satun dan sekitarnya) dikenali sebagai Melayu. Etnik Suluk di Filipina juga dikenali sebagai Melayu. Tetapi pentakrifan itu adalah pentakrifan tidak rasmi, cuma merujuk kepada amalan kebiasaan sahaja.

5. Manakala di negara kita satu evolusi berlaku di dalam pentakrifan Melayu. Saya kongsikan petikan dari satu kertas kerja yang pernah saya bentangkan pada tahun 2011 di satu konvensyen untuk perkongsian kepada pembaca.

“Perkataan ‘Melayu’ telah melalui satu evolusi yang panjang sejak dari zaman Kesultanan Melayu Melaka. Apabila kita melihat karya Melayu tradisonal seperti Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah, Misa Melayu, Hikayat Merong Mahawangsa, Hikayat Petani, Peringatan Sejarah Negeri Johor, Hikayat Abdullah, Kesah Pelayaran Abdullah dan Tuhfatul Nafis kita akan dapati ‘Melayu’ ditakrifkan dengan takrifan yang pelbagai. ‘Melayu’ sebagai satu kumpulan etnik pula muncul di dalam tulisan Melayu tradisional selepas kurun ke 19.

Melayu tradisional itu mempunyai sifat-sifat yang tersendiri. Mereka adalah satu kaum yang mesra dengan alam semula jadi. Mereka duduk di sepanjang Selat Melaka dan persisiran pantai serta mendirikan pelabuhan-pelabuhan kecil yang kemudiannya menjadi besar. Mereka adalah bangsa dagang. Di dalam catatan sejarah China, orang Melayu dikenali sebagai bangsa yang sopan, bijak di dalam ilmu falak dan mempunyai peradaban yang tinggi. Kesemua ini kemudiannya membawa kepada penyempurnaan pembentukan identiti ‘Melayu’.

Faktor migrasi dan penjajahan kemudiannya telah membawa kepada satu pentakrifan yang lebih khusus kepada ‘Melayu’. Takrif ini dilihat lebih luas dan lebih merangkumi di mana asal usul, budaya dan agama dihimpunkan sebagai komponen di dalam pengenalan identiti Melayu. Ini kemudiannya menjadi asas kepada Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu di dalam mentakrifkan orang Melayu sebagai seseorang yang beragama Islam, mengamalkan adat resam Melayu dan bertutur di dalam bahasa Melayu.

“Sa-sa’orang itu hendaklah di-sifatkan menjadi sa-orang Melayu jika dia menganot Agama Islam, dia beradat resam sechara Melayu, menjadi tabi’at-nya bercakap bahasa Melayu, …”

Dengan takrif yang terkini itu, kita melihat ‘Melayu’ telah digunakan sebagai rujukan kepada satu kumpulan etnik yang mengamalkan adat-adat tertentu, bertutur dengan bahasa yang dikenali sekarang sebagai bahasa Melayu dan menganut agama Islam. Pentakrifan ini diiihat sebagai memberi penegasan kepada komponen penting yang membentuk identiti Melayu, dan di antara yang terpentingnya adalah Islam yang akan menjadi topik perbincangan kita di dalam kertas kerja ini.”

6. Merujuk kepada pentakrifan yang diberikan secara rasmi oleh Perlembagaan kepada Melayu, kita melihat negara kita mengambil pendekatan meluaskan Melayu kepada semua etnik nusantara. Termasuk di dalam Melayu dalam takrifan negara kita adalah etnik Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau, Acheh, Boyan, Batak, Kedayan, Dusun dan lain-lainnya.

Malah pernah berlaku beberapa kali di dalam sejarah bagaimana orang Bugis menamakan diri mereka Melayu dan mengembangkan bahasa Melayu sehingga meninggalkan bahasa Bugis sebagaimana yang berlaku kepada orang-orang Bugis yang merantau ke kepulauan Riau. Juga pernah berlaku bagaimana orang India Muslim memohon untuk menamakan kumpulan dan persatuan mereka sebagai Melayu juga.

7. Dengan keluasan pentakrifan itu, kita luaskanlah juga hati-hati kita untuk bersatu menjadi bangsa yang saling kuat mengutkan antara satu sama lain. Yang menyatukan kita adalah Islam, bahasa Melayu dan adat resam Melayu yang luas itu. Segala yang berkait dengan segala etnik di bawah rumpun Melayu itu dalam takrifan negara kita sudah dianggap Melayu.

Dengan itu tidaklah hilang jati diri Melayu Terengganu jika lebih suka makan itik salai masak lemak lebih dari kesukaannya terhadap nasi dagang, kerana kedua-dua makanan itu adalah makanan tradisional Melayu. Tidak juga berkurang jati diri orang Perak jika memakai baju Melayu teluk belanga Johor kerana ia juga adalah pakaian tradisi orang Melayu. Begitulah pandangan saya.

Wallahu a’lam

Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni

Siri 1: Menuju Hari Peradaban Bangsa Melayu

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button