Kolumnis

Melayu bila ada duit sikit, beli kereta mewah…bila nak beli rumah

Ada duit sikit, tayang beli kereta mewah. Apa keutamaan hidup yang sebenar?

RATA-rata saya tengok orang Melayu suka ‘menayang’ kemewahan. Ada kereta mewah sikit, tayang. Dapat isteri (suami) artis selebriti, tayang.

Dah bersalah, tak mengaku bersalah.

Sudahlah begitu, pergi ke mahkamah, parkir kereta depan pintu mahkamah, sebab nak tayang. Ustaz yang kahwin dengan selebriti pun terbawa-bawa perangai sama.

Ustaz pun dah tak jadi ustaz. Nak tayang sama, tumpang glamour. Macamlah hebat sangat kahwin dengan artis.

Dunia dah nak Kiamat. Kita yang melihat makin geli geleman.

Ada duit sikit. Bukan banyak sangat pun duit yang dia ada. Tetapi, mahu tayang selalu. Tularkan.

Apa yang mereka mahukan sebenarnya dalam kehidupan ini, kita pun tidak tahu?

Kenapa tidak gunakan ‘kekayaan atau keberadaan’ itu dalam bentuk ‘low profile’.

Biar kaya, nampak tak bergaya. Bukan, biar papa, asal bergaya.

Kadang kala kita tengok, mereka yang pakai kereta mewah inilah, masih menyewa rumah lagi.

Kadangkala kita tengok, harga kereta tidaklah seberapa, tetapi aksesori kereta dia lebih mahal daripada kereta.

Apa tujuan pemasangan aksesori ini kalau bukan untuk ditayang bagi orang tengok.

Saya fikir orang Melayu sudah sampai peringkat wajib baca buku Pendeta Za’ba dalam usaha untuk memperbaiki kehidupan.

Za’ba menulis panjang lebar mengenai psiki orang Melayu dan kemukakan cara untuk mengatasinya.

Za’ba pernah berkata, rupa tidak boleh diubah tetapi perangai boleh. Perangai orang Melayu bergantung kepada diri sendiri. Orang lain tidak mampu mengubahnya melain diri sendiri.

Perangai yang merosakkan kita, bukan rupa.

Bangsa Melayu mesti merubah diri sendiri jika mereka mahu kekal dan maju di bumi sendiri. Jika tidak, pasti akan diambil oleh bangsa lain.

Walaupun tulisan Za’ba sudah lebih 60 tahun, ternyata sangat relevan untuk dijadikan panduan.

Za’ba tulis buku ini sebagai peringatan kepada orang Melayu.

Malangnya, orang Melayu abaikan peringatan ini. Orang Cina yang nampak lebih beramal dengannya.

Saya bukan nak puji orang Cina. Tetapi kita tengok, orang Cina (bukan semua) tidak suka menunjuk-nunjuk. Kadangkala pakai seluar pendek sahaja, tetapi duit berkepul-kepul dalam bank. Kereta dan rumah, mereka sorok, bukan tayang.

Berbanding dengan kita, duit dalam bank dahlah tak banyak, tetapi gaya dia, kereta dia hebat bukan main. Rumah masih lagi menyewa.

Apabila Za’ba menegur orang Melayu, bukan bermakna mahu mempersenda atau memperlekehkan bangsa sendiri tetapi sekadar mahu memberi kesedaran kepada orang Melayu tentang pentingnya merubah perangai dalam kehidupan seharian.

Cukuplah label-label yang diberikan seperti Melayu malas. Melayu rasuah dan macam-mcam lagi.

Bila dilabelkan dengan label negatif seperti Melayu rasuah. Cuba kita lihat dalam perkhidmatan awam dan penguatkuasaan hari ini, berapa ramai yang telah didakwa kerana rasuah.

Jika tidak mana mungkin tanah rizab boleh hilang, tanah Musang King bertambah. Mana mungkin tapak sekolah (sekolah agama), tiba-tiba hilang, diganti dengan sekolah lain.

Ini belum lagi dibincangkan soal kehidupan mewah penjawat awam, sedangkan gaji tidak seberapa.

Telah beberapa kali saya katakan, selagi mana nama kita adalah penjawat awam, selagi itulah kita tidak boleh menjadi kaya.

Jika ada juga penjawat awam atau penguat kuasa yang kaya raya, rumah besar, kereta besar, pasti ada yang tidak kena.

Dosa rasuah ini tidak boleh ditebus dengan menunaikan umrah dan haji. Dosa ini tidak boleh ditebus bersedekah kepada rumah anak yatim dan tahfiz., jika tidak benar-benar taubat nasoha.

Sedarlah umatku.

Sekali kamu gadaikan agama, bangsa dan tanah air demi kepentingan diri sendiri dengan menerima rasuah. Terlalu sukar untuk kamu menebus dosa tersebut sekali dengan bersedekah kepada berpuluh-puluh pusat anak yatim atau pusat tahfiz.

Jangan kamu sangka mudah sangat untuk mensucikan dosa menggadaikan agama, bangsa dan negara yang kamu lakukan.

Justeru, bacalah mesej Za’ba.

Za’ba mahukan orang Melayu berusaha bersungguh-sungguh dalam semua aspek kehidupan termasuk dalam urusan dunia mahupun akhirat. Apa yang ingin diperolehi harus diusahakan sendiri dan tidak bergantung semata-mata kepada pertolongan orang lain.

Bukan juga dengan menerima rasuah. Mengadaikan maruah agama, bangsa dan negara.

Za’ba seolah-olah dapat memahami ada segelintir orang Melayu yang tidak mahu berusaha dan hanya berharapkan bantuan dan ehsan orang lain. Mahu jalan pintas untuk hidup mewah.

Ya, memang tidak dinafikan hari ini, sudah ramai orang Melayu yang berjaya, yang bergelar usahawan, jutawan, saintis dan berbagai lagi. Manfaatkan sepenuhnya semua kejayaan ini.

Selain itu, Za’ba turut mengkritik amalan bidaah orang Melayu yang terpesong dari al-Quran dan as-Sunnah. Kebergantungan segelintir orang Melayu yang bergantung sepenuhnya terhadap mereka yang bergelar ‘orang agama’ sehingga ada yang memohon daripada golongan alim ini untuk berdoa bagi pihak mereka. Kamu ingat, ketenangan dan kebahagiaan boleh dibeli dengan doa orang alim? Orang yang kamu kata ‘alim’ itu pun belum tentu bahagia.

Justeru, kata Za’ba, skop pemahaman mereka tentang amalan kehidupan di dunia hanya terhad dalam konteks ibadah seperti wirid, zikir, tahlil dan sebagainya sahaja.

Perbuatan mulia lain seperti berdakwah, bekerja keras, tidak rasuah, berintegriti, dan berbagai lagi akhlak mulia, semua itu adalah ibadah dalam kehidupan.

Za’ba turut membandingkan kejayaan umat Islam terdahulu, sehingga dipandang tinggi sebagai umat yang maju, besar, berkuasa, mulia dan disanjung. Namun, kenapa umat Islam kini berlaku sebaliknya, malah lebih dahsyat lagi menjadi penerima rasuah sehingga sanggup menggadaikan agama, bangsa dan negara? Kaya sedikit, mula menayang.

Sepatutnya umat Islam kekal menjadi umat yang kuat, hebat, berkuasa dan dipandang tinggi.

Za’ba mempersoalkan adakah orang dahulu lebih kuat imannya berbanding umat sekarang?

Tidak juga bukan? Iman tidak boleh dijual beli. Ia juga tidak berada di tepian pantai…

Wahai Melayu, ambillah nasihat Za’ba ini.

Za’ba mahukan bangsa Melayu bangkit berjuang untuk memperbaiki diri, membaiki segala kekurangan, melakukan segala kebaikan dan menjauhi kejahatan. Bangkit berjihad dan berijtihad dalam menyesuaikan diri dengan perubahan zaman.

Za’ba juga mahukan bangsa Melayu memperbetulkan kesalahan dan memperbaharui pemahaman bukan sahaja dalam aspek agama tetapi juga segala aspek kehidupan. Kehidupan ini ibadah, bukan untuk menunjuk-nunjuk, tularkan, sehingga jadi riak.

Amalan yang paling penting kata Za’ba, adalah bertaubat dan kembali ke pangkal jalan setelah melakukan kesalahan. Bertaubatlah wahai sahabatku. Apa yang kamu ada hari ini, bukan milik kamu, tetapi milik Allah. Tak usahlah berlagak sangat, tayang sana sini.

Mungkin bagi generasi muda hari ini, buku ini agak kurang menarik perhatian kerana lenggok bahasa Za’ba yang agak klasik. Perlu diingat, karya Za’ba ini sepatutnya menjadi bahan bacaan wajib orang Melayu bagi menyusuri cara hidup masyarakat terdahulu yang masih kekal sifat dan perangainya.

Generasi muda hari ini perlu mengambil iktibar. Hapuskan label negatif terhadap Melayu sebagai bangsa pemalas dan bergantung harap kepada subsidi sahaja. Suka menunjuk-nunjuk.

Bila dah ada duit sedikit, fikirkan soal masa depan, bukan soal hari ini dengan berlagak ke sana ke mari dengan kereta mewah. Jika ada ibu bapa yang berkenan dengan kereta mewah untuk kita sebagai anak hadiahkan, tidak semesti beli Mercedes, Porshe atau Jaguar.

Berpada-padalah. Apa guna dengan kereta mewah jika rumah pun masih menyewa lagi.

Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button