Berita Utama

Mufti Perak kini di ICU

Dakwaan isterinya telah meninggal dunia tidak benar

IPOH, 12 Syawal 1442H, Isnin – Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria, yang didapati positif COVID-19 minggu lalu, kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini.

Perkara itu disahkan oleh anaknya Datuk Ahmad Wafi ketika dihubungi hari ini.

“Abah kini dirawat di ICU,” katanya seperti dilapor akhbar NST.

Bagaimanapun, Wafi menolak dakwaan di media sosial bahawa ibunya, Puan Seri Ainon Abdul Ghani, telah meninggal dunia.

Sambil mengesahkan bahawa ibunya juga telah dijangkiti COVID-19, Wafi mengatakan bahawa beliau kini sudah sembuh dan berehat di rumah.

Sementara itu, Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim mengesahkan bahawa Harussani masih dirawat di HRPB.

“Kami diberitahu bahawa Tan Sri sedang dirawat di HRPB sementara isterinya telah dibenar keluar dari hospital.

“Mari kita sama-sama berdoa untuk kesembuhan Mufti Perak,” katanya.

Harussani positif COVID-19 pada 11 Mei dan masih belum sedar.

Harussani, 82, dilantik sebagai Mufti Perak pada tahun 1985 dan juga memegang beberapa jawatan di peringkat negeri dan persekutuan.

Ia termasuk Ketua Jawatankuasa Penapisan Penerbitan Islam, Timbalan Pengerusi Lembaga Teks Al-Quran dan anggota Majlis Fatwa Kebangsaan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button