Berita Utama

Pelik! Bagaimana menteri kanan tak tahu kasino Genting beroperasi?

Apakah ada ‘communication breakdown’ yang teruk dalam kerajaan sekarang?

BANGI, 12 Syawal 1442H, Isnin – Apakah sekarang ini wujud ‘communication breakdown’ yang teruk dalam kerajaan, sehingga Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mendakwa tidak tahu mengenai pengoperasian kasino di Genting Highlands?

Perkara itu menimbulkan tanda tanya Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Haji Aminuddin Yahaya terhadap kenyataan Ismail Sabri berhubung pengoperasian pusat perjudian terbesar itu adalah di luar pengetahuannya.

Beliau turut hairan bagaimana perkara itu tidak diketahui menteri kanan sedangkan kenyataan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menyatakan sebaliknya.

“Jika kasino sebesar Genting ini boleh beroperasi tanpa segan silu tanpa pengetahuan menteri kanan, maka kita yakin pasti ada kasino-kasino lain yang beroperasi lebih-lebih lagi kasino ‘underground’.

“Kita harap pihak berkuasa boleh lancarkan operasi untuk menggempur kasino-kasino sebegini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Aminuddin berkata, pengoperasian pusat judi berkenaan pastinya menimbulkan pelbagai persoalan, bahkan membangkitkan lagi kemarahan rakyat yang muak dengan ‘double standard’.

“Rakyat pasti tertanya-tanya juga, bagaimana mereka ini boleh lepas ‘road block’ beramai-ramai merentas negeri dan menteri langsung tidak tahu mereka ke Genting Highlands? Pelik sungguh.

“Apa yang lebih penting ialah tindakan tegas perlu diambil kepada syarikat kasino gergasi itu,” katanya.

Katanya, jika tiada tindakan tegas, rakyat akan menganggap ia hanya ‘tutup biasa’ seperti mana premis yang mempunyai kes kontak rapat COVID-19 dan seolah-olah sandiwara.

“Yang paling penting ialah Kementerian Pelancongan perlu bertanggungjawab atas apa yang berlaku ini keranan merekalah yang beriya-iya (dan laju) ‘back-up’ rombongan pejudi-pejudi ke Genting itu seolah-olah ada udang di sebalik batu.

“Dari rakyat marah dengan ‘double standard’ antara marhaen dan kayangan, akhirnya jadi tahap ‘double standard’ antara masjid dan kasino pula,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button