Berita Utama

Pemimpin UMNO perlu muhasabah diri

Ubahlah perangai lama dan santuni agenda rakyat marhaen

BANGI, 12 Syawal 1442H, Isnin – Dalam situasi politik yang tidak stabil ketika ini, pemimpin UMNO sepatutnya bermuhasabah – termasuk mengenang faktor dan punca utama ditolak pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu.

PRU14 menyaksikan tindakan rakyat yang berani melakukan perubahan, sekiranya mereka menganggap sesetengah pemimpin tidak boleh lagi boleh diubah dan berubah.

Naib Pengerusi PEMBELA, Ustaz Masridzi Sat berkata, segelintir pemimpin politik berfikiran sempit apabila mengukur kekuatan parti mereka melalui jumlah ahli.

“Walhal, Allah boleh ubah hati rakyat untuk memilih mana-mana parti atau pemimpin yang mereka kehendak.

“Justeru, fahami rakyat bawahan ketika ini yang sedang dihimpit kesusahan yang teruk sama ada akibat wabak COVID-19, masalah serangan agenda musuh dari luar ataupun pengkhianat dari dalam.

“Kepercayaan rakyat kepada orang-orang politik semakin menipis. Jadi, ubahlah perangai lama dan santunilah agenda rakyat marhaen jika mahukan sokongan,” katanya.

Tambahnya, parti-parti Melayu juga tidak perlu mendabik dada atau berbangga dengan menganggap bahawa mereka adalah terbaik sebaliknya perlu membuktikan mereka mampu melakukan perubahan seperti dikehendaki rakyat.

“Rakyat mahu lihat pembersihan bagi pemimpin yang bermasalah dan pemimpin yang mempunyai rekod bersih. Disaran bersiap untuk mengisi kepimpinan negara yang akan datang.

“Gabungan parti-parti Melayu Islam yang ikhlas dan jujur mestilah diwujudkan bukan setakat berkokok hebat berlawan sesama sendiri,” katanya.

Terdahulu, UMNO sekali lagi menjarakkan dirinya daripada kerajaan ketika sebahagian daripada ahli Parlimennya menganggotai kabinet PN sekarang.

Menyedari rasa resah orang ramai dengan keadaan semasa, Presidennya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan tidak wajar parti itu dipalitkan dengan “kegagalan PN”.

Ia dibuat ketika keadaan politik negara dihangatkan dengan kemunculan pemidang “kerajaan gagal” di beberapa negeri dengan yang terbaharu dikesan di Kelantan.

“Saya difahamkan ada usaha untuk memalitkan UMNO dengan kegagalan kerajaan PN. Saya fikir perkara ini wajar diperjelaskan sekali lagi supaya semua lebih terang dan faham,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button