Dunia

Penyelidik makmal Wuhan dapatkan rawatan sebelum COVID-19 merebak?: Laporan

AS minta siasatan menyeluruh kesan asal-usul pandemik tercetus

WASHINGTON, 12 Syawal 1442H, Isnin – Tiga penyelidik dari Institut Virologi Wuhan (WIV) didakwa mendapatkan rawatan di hospital pada bulan November 2019, beberapa bulan sebelum China didedahkan kepada pandemik COVID-19. 

Perkara itu dilaporkan Wall Street Journal pada Ahad sebagai memetik laporan perisikan Amerika Syarikat (AS) yang tidak didedahkan sebelum ini. 

Akhbar itu mendakwa laporan berkenaan – yang memberi perincian mengenai jumlah penyelidik yang terjejas, waktu penyakit dan rawatan mereka di hospital – dapat membantu siasatan terhadap virus COVID-19, sama ada ia terlepas dari makmal. 

Laporan itu dikeluarkan pada pertemuan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang membincangkan fasa penyelidikan selanjutnya mengenai asal-usul wabak COVID-19. 

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara AS tidak memberi komen mengenai laporan itu, namun memaklumkan bahawa pentadbiran Presiden Joe Biden mempunyai persoalan berhubung tercetusnya wabak COVID-19, yang berasal dari China itu. 

Katanya, kerajaan AS bekerjasama dengan WHO dan negara-negara anggota lain untuk mendukung penilaian yang didasari oleh pakar mengenai asal usul wabak tanpa sebarang campur tangan politik. 

Mac lalu, AS, Norway, Kanada, Britain dan negara-negara lain menyatakan kebimbangan mengenai kajian asal COVID-19 yang dipimpin WHO, serta meminta penyelidikan lanjut dan akses penuh ke atas semua data manusia, haiwan atau lain-lain mengenai tahap awal wabak itu. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button