Berita Utama

Perlu ujian saringan COVID-19 skala besar

Individu dijangkiti wabak tiada gejala lebih membimbangkan

BANGI, 12 Syawal 1442H, Isnin – Kerajaan perlu melaksanakan ujian saringan berskala besar dan bersasar secara percuma kepada orang ramai, kata Profesor Madya Dr Marzuki Isahak.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Jabatan Perubatan Kemasyarakatan dan Pencegahan daripada Fakulti Perubatan Universiti Malaya itu berkata, langkah itu penting bagi mengekang jangkitan wabak COVID-19 yang semakin berleluasa.

Beliau berkata, pelaksanaan ujian saringan adalah penting bagi mengesan individu yang dijangkiti COVID-19 dengan cepat.

Tambahan pula, katanya, penularan jangkitan dalam kalangan warga tempatan semakin tinggi dan membimbangkan ketika ini.

“Kes COVID-19 dalam populasi kita juga semakin tinggi. Jadi, kita perlu buat ujian ini secara besar-besaran supaya dapat mengesan mana-mana individu yang dijangkiti dengan cepat. Kemudian asingkan mereka dengan segera.

“Lebih membimbangkan apabila mereka yang dijangkiti ini tiada sebarang gejala,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Terdahulu, media tempatan yang prihatin dengan pakar-pakar perubatan serta sains negara mengemukakan lapan saranan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi melawan COVID-19.

Antara pelan tindakan segera seperti disyorkan itu termasuk ujian saringan COVID-19 berskala besar dan bersasar secara percuma.

Mengulas lanjut, Dr Marzuki berkata, pelaksanaan ujian saringan itu boleh dilakukan melalui Antigen Rapid Test Kit (RTK-Ag) kerana keputusan boleh didapati dalam masa beberapa jam sahaja tanpa perlu mengeluarkan kos yang banyak.

“Sekiranya individu ini positif COVID-19, dia perlu membuat ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) untuk mendapatkan pengesahan.

“Kemudian, maklum kepada jabatan kesihatan negeri ataupun pejabat kesihatan daerah,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button